Lambakan bintang paksa 3 bintang dalam pembikinan Gergasi Merah ikut langkah Sikh Izhan


  • Podium
  • Sabtu, 24 Feb 2024

Kesukaran merebut tempat menyaksikan Sikh Izhan meninggalkan skuad Gergasi Merah secara pinjaman. — Facebook/Selangor FC

SELANGOR FC kelihatan lebih bersedia untuk bersaing musim depan apabila sudah mengadakan sesi latihan berpusat dengan kesemua pemain sudah melaporkan diri.

Ini sebagai persiapan buat pasukan tersebut meningkatkan lagi prestasi setelah muncul naib juara Liga Super 2023, namun gagal memberi saingan di Piala FA dan Piala Malaysia.

Jadi, dalam merealisasikan misi tersebut, skuad Gergasi Merah dilihat sudah melakukan perancangan awal dengan membawa masuk pemain baharu untuk memperkukuhkan pasukan.

Namun, pengorbanan masih perlu dilakukan kelab Lembah Klang berkenaan kerana mereka masih perlu melepaskan beberapa nama agar rekrut kali ini dapat meraih minit permainan.

BACA LAGI: Selangor ‘provide’ ilmu Eropah untuk jurulatih 'ubi muda'

428617512_944581957182459_4557670744953349147_n

Sikh Izhan sah dipinjamkan ke skuad Harimau Kumbang untuk musim depan. Facebook/Penang FC

Walaupun sudah melepaskan hampir 10 pemain pada awal Februari lalu, masih terdapat nama-nama yang dijangka tidak dikekalkan dalam pasukan musim depan.

Bagaimanapun, melihat kepada perancangan Selangor FC, terdapat kemungkinan mereka hanya dilepaskan secara pinjaman kerana masing-masing masih mampu memberi sumbangan pada masa depan, seperti penjaga gol muda, Sikh Izhan Nazrel.

Dia yang menyertai Penang FC sehingga penghujung musim 2024/25 berbuat demikian demi mendapatkan minit permainan lebih kerap dengan skuad Gergasi Merah kini memiliki dua penjaga gol senior, Sam Somerville serta Khairulazhan Khalid.

Keputusan itu dianggap mampu memberi kelebihan buat penjaga gol berkenaan kerana tempoh pinjamannya ke Negeri Sembilan FC pada 2023 membawa pengalaman baharu buatnya.

Jadi, berdasarkan pemerhatian Majoriti, terdapat tiga pemain yang perlu meninggalkan Selangor FC dengan status pinjaman bagi meraih peluang lebih kerap musim depan.

1. Zikri Khalili

Persaingan di bek sayap merupakan satu hal yang disaksikan dalam skuad Gergasi Merah beberapa tahun kebelakangan ini dengan isu itu dikhuatiri akan memberi kesan terhadap 'ubi muda' pasukan.

Salah seorang pemain muda yang mengalami impak daripada isu berkenaan ialah Zikri Khalili yang sukar merebut tempat dalam kesebelasan utama sebagai bek kanan daripada Quentin Cheng.

Perbezaan fizikal kedua-dua pemain itu memainkan faktor dengan pengendali pasukan, Tan Cheng Hoe mahu seseorang yang dapat mengasak lawan sepanjang 90 minit permainan.

BACA LAGI: Seakan-akan tepat dengan klu ejen luar, Selangor pilih Korea Selatan destinasi pramusim?

Fzbucx-agAICbfz

Zikri lebih kerap diletakkan di bangku simpanan Gergasi Merah musim lalu. Facebook/Selangor FC

Di samping itu, pengalaman Quentin bersama skuad kebangsaan jelas menutup peluang buat Zikri yang hanya pernah beraksi buat skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara.

Jadi, sekiranya pemain berusia 21 tahun tersebut mahu mencari solusi, perpindahan pinjaman pada jendela perpindahan kali ini boleh dikatakan langkah terbaik.

Selain dapat menimba pengalaman baharu, pemain kelahiran Bandar Tun Razak, Jengka, Pahang tersebut berpeluang merebut minit permainan, sekali gus membuktikan nilainya buat Selangor FC.

Destinasi terbaik buat Zikri ketika ini ialah Perak FC yang masih aktif memperkuatkan barisan pertahanan selepas beberapa 'ubi muda' lain sudah dilepaskan mereka.

2. Hein Htet Aung

Ketika tiba pada jendela perpindahan 2021, ramai pihak teruja dengan kualiti dimiliki bintang muda, Hein Htet Aung yang mampu beraksi cemerlang di kedua-dua sayap serangan.

Manakan tidak, dalam musim debutnya buat Selangor FC, penyerang berkenaan merekodkan lima gol dan empat bantuan jaringan dalam 25 penampilan buat semua kejohanan domestik.

Bagaimanapun, kehadiran pemain lebih bertenaga di posisinya seperti Faisal Halim dan Ayron del Valle musim lalu menyaksikannya lebih kerap diletakkan di bangku simpanan.

Hein-Htet-Aung-1

Htet Aung dilaporkan akan dipinjamkan sekal lagi ke Negeri Sembilan FC. Facebook/Negeri Sembilan FC

Situasi tersebut mendesaknya supaya meninggalkan skuad Gergasi Merah ketika jendela perpindahan kedua untuk menyertai Negeri Sembilan FC secara pinjaman.

Keputusan itu memberi kelebihan buatnya yang diturunkan sebanyak 10 kali dalam semua pertandingan dengan enam daripadanya diraih dalam saingan Liga Super.

Kini, Htet Aung dilaporkan akan sekali lagi dipinjamkan ke skuad Jang supaya membolehkannya berkembang, sekali gus menjadi pemain lebih baik pada tahun-tahun mendatang.

3. Danial Asri

Status penyerang muda, Danial Asri sebagai anak jati Rawang, Selangor membuatkannya cukup popular dalam kalangan penyokong Gergasi Merah sejak mencipta debut empat tahun lalu.

Namun, sehingga kini, pemain tinggi lampai terbabit masih tidak mempunyai tempat dalam pasukan kerana kebergantungan mereka terhadap import berkualiti.

Ia dibuktikan dengan penurunan dari segi minit permainannya bersama pasukan senior pada musim 2022 dan 2023 apabila pemain tersebut tidak pernah berada dalam kesebelasan utama.

331020268_591290799574975_5452023862147245945_n

Danial Asri perlu menunggu peluang lebih kerap buat skuad Gergasi Merah. Facebook/Selangor FC

Hal itu sedikit sebanyak dikhuatiri akan memberi impak terhadap mutu penyudahnya walaupun dia pernah diangkat sebagai seorang permata bersinar buat skuad Gergasi Merah.

Pasukan yang memberi peluang buat pemain muda seperti Negeri Sembilan FC dan Penang FC boleh dikatakan destinasi terbaik buat Danial sekiranya dia mahu meninggalkan pasukan Lembah Klang berkenaan secara pinjaman.

Bagaimanapun, jika dia masih bertegas mahu kekal berbakti bersama Selangor FC, pilihan terbaik dimilikinya adalah dengan kekal dalam skuad Piala MFL.

Meskipun ia tidak menutup peluangnya untuk terus berkembang, ia sedikit sebanyak membantutkan perjalanan dalam kariernya setelah pernah beraksi di Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram