Pemenang Piala Dunia pernah tawar diri selamatkan bola sepak Malaysia


  • Podium
  • Selasa, 27 Feb 2024

Desailly (kanan) merupakan pemenang Piala Dunia 1998 bersama Perancis. — Agensi

MALAYSIA mungkin bukanlah kuasa besar dalam bola sepak, tetapi saban tahun, jawatan sebagai ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan sentiasa menjadi rebutan.

Setiap kali jawatan ketua jurulatih Harimau Malaya kosong, pasti akan ada pelbagai nama yang dikaitkan untuk menyandang posisi tersebut. Bukan saja jurulatih tempatan malah pengendali dari luar negara juga amat mendambakan posisi sebagai jurulatih Malaysia.

Aura posisi sebagai jurulatih Malaysia pernah berjaya menarik perhatian pemenang Piala Dunia 1998 bersama Perancis iaitu Marcel Desailly untuk menggantikan Datuk K. Rajagobal.

Pertahanan legenda Les Blues itu pernah menzahirkan hasrat untuk mengendalikan Harimau Malaya 10 tahun lalu dengan dia mengakui telah pun memasuki senarai pendek Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk jawatan tersebut.

BACA LAGI: Terima undian 85 peratus, gol Faisal diiktiraf GOTT Piala Asia 2023

marcel-desailly-world-cup-trophy

Nama Desailly pernah masuk senarai pendek FAM untuk menggantikan Rajagobal. — Agensi

BACA LAGI: Kelab dah pro tapi Selangor, TFC antara 3 skuad Liga Super 'bersantai' jaga identiti dan branding

"Selepas 20 tahun terlibat dalam permainan ini, saya sudah melalui kursus kejurulatihan dan membina pengetahuan dan falsafah dalam kejurulatihan. Sekarang, saya bersedia untuk melatih.

"Sudah lama saya dikaitkan dengan jawatan jurulatih di FAM. Ia adalah benar. Saya sudah berada di posisi yang di mana Timbalan Presiden FAM dan Presiden FAM untuk menentukan sama ada jawatan itu akan diisi oleh saya atau orang lain.

"Saya gembira jika dapat terlibat dalam bola sepak Malaysia dan membantu meningkatkan prestasi bukan saja pasukan kebangsaan tetapi potensi kelab-kelab dalam pertandingan Asia," kata Desailly.

Hasrat Desailly untuk mengendalikan skuad kebangsaan bagaimana pun tidak berhasil apabila FAM menyerahkan tugas tersebut kepada Datuk Ong Kim Swee untuk diisi secara sementara sebelum Datuk Dollah Salleh mengambil alih.

Melangkah ke hari ini, skuad kebangsaan kini dilatih oleh pengendali dari luar negara tetapi orangnya bukanlah Desailly. Sebaliknya jurulatih dari Korea Selatan iaitu Kim Pan-gon yang mengemudi Harimau Malaya.

Sementara Desailly kini merupakan sebahagian daripada pegawai untuk skuad kebangsaan Perancis yang akan beraksi untuk EURO 2024 di Jerman. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram