Hasilkan GOTT lawan negara sendiri, KPG gembira kejayaan Faisal


  • Podium
  • Selasa, 27 Feb 2024

Pan-gon (kiri) begitu gembira dengan kejayaan Faisal (kanan) merobek pintu gol Korea Selatan. — Facebook/FAM

KEJAYAAN pemain kebangsaan, Faisal Halim meraih gelaran gol terbaik Piala Asia 2023 (GOTT) nyata menggembirakan penyokong bola sepak negara.

Gol Faisal ketika bertemu Korea Selatan telah dipilih sebagai jaringan terbaik di Piala Asia dengan pemain sayap itu memperoleh 85 peratus undian daripada penyokong.

Jaringan tersebut turut menewaskan beberapa gol lain daripada bintang utama Asia seperti Son Heung-min, Sardar Azmoun serta Hassan Al-Haydos.

Kemenangan yang diraih Faisal itu turut mendapat perhatian jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon yang juga gembira dengan perkhabaran tersebut.

Walaupun gol itu terhasil menentang negara kelahirannya, tetapi Pan-gon tetap profesional dengan mengucapkan tahniah kepada Faisal menerusi laman Instagram miliknya.

"Tahniah Faisal! indahnya Malaysia!," kata Pan-gon dengan ringkas tapi bangga.

BACA LAGI: Terima undian 85 peratus, gol Faisal diiktiraf GOTT Piala Asia 2023

WhatsApp Image 2024-02-27 at 12.11.07

Tangkap layar ucapan tahniah Pan-gon kepada Faisal. — Instagram/@kimpangon

BACA LAGI: ‘JDT elok je main di Larkin’, penyokong Perak tak perlu melatah kena beraksi di Manjung

Dalam pada itu, Faisal yang juga gembira dengan perkhabaran itu mengatakan yang kejayaan berpasukan tetap menjadi keutamaanya.

Bercakap kepada stesen radio Era FM, Faisal yang kini telah kembali menyertai latihan bersama Selangor FC ingin meletakkan fokusnya kepada kelab dan musim baharu Liga Super yang bakal tiba.

"Buat masa sekarang, fokus saya adalah berlatih bersama-sama kelab saya iaitu Selangor. Saya juga akan kembali fokus jika nama saya dipanggil untuk mewakili skuad kebangsaan untuk kelayakan Piala Dunia.

"Saya tak ada sasaran untuk pencapaian peribadi. Saya hanya berikan yang terbaik, apa yang saya ada apa yang saya mampu untuk pasukan kebangsaan atau Selangor," kata Faisal.

Faisal mencatatkan satu jaringan untuk Malaysia ketika mewakili skuad kebangsaan di Piala Asia 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram