Untung RM30,000 tapi Matlan Marjan dedah punca utama jual jersi keramat Piala FA 1994


  • Podium
  • Ahad, 25 Feb 2024

Matlan merupakan salah seorang penyerang terbaik pernah dimiliki skuad Sang Badak. — Flash Sukan

PENYERANG legenda, Matlan Marjan boleh diangkat sebagai antara hero ketika membantu Sabah FA disanjung sebagai antara pasukan terbaik negara pada era 90-an.

Dia yang dikenali dengan kelincahan serta penyudah berkualiti itu pastinya sukar dilupakan penyokong skuad Sang Badak, lebih-lebih lagi setelah membantu mereka menjuarai Piala FA 1995.

Meskipun reputasinya pernah tercalar akibat isu rasuah, legasinya sebagai salah seorang pemain terbaik pernah dimiliki kelab Borneo itu tidak boleh dipadam.

Namun, baru-baru ini, Matlan mencipta kejutan apabila secara tiba-tiba mengambil keputusan menjual jersi yang dipakai ketika Piala FA 1994 menerusi satu hantaran di laman Facebook peribadinya.

BACA LAGI: 'Liga Super sunyi tanpa Kedah', keputusan FIB, MFL beri fans Hijau Kuning nafas baharu

428619354_1117833839197122_8022005689853609845_n

Baju berusia kira-kira 30 tahun itu pernah dipakai Matlan ketika aksi Piala FA 1994.

Bagi sesetengah penyokong, mereka berasakan bekas pemain yang kini berusia 55 tahun itu berdepan isu kewangan sehingga terpaksa melepaskan sesuatu cukup berharga buatnya.

Tetapi, berdasarkan penjelasan dibuat di ruangan komen, anak jati Kota Belud, Sabah berkenaan berkata, dia mahu menjual jersi berkenaan kerana sudah tidak lagi hubungan antaranya dengan pasukan itu.

"Saya tidak perlu baju ini kerana tiada apa-apa sudah untuk saya megahkan dengan pasukan Sabah. Kami sebagai bekas pemain di negeri ini pun seperti tiada makna juga dengan apa yang telah kami capai.

"Harap semua faham kerana sayang bagaimanapun kamu dengan jersi ini, saya lebih menyayanginya kerana itu saya simpan sehingga sekarang. Namun, sampai masa saya tidak perlukannya lagi di dinding galeri rumah saya," katanya.

BACA LAGI: Ubi muda Selangor, import Jepun dalam senarai bocor 10 pemain ke skuad Jang musim depan

49335539_1954733608155677_3361388319500926976_n

Matlan merupakan salah seorang pemain ketika zaman kegemilangan skuad Sang Badak pada era 90-an.

Menurutnya, jersi itu sudah dijual dengan harga RM30,000 kepada seorang individu tidak didedahkan selepas penyokong lain turut tampil menyuarakan minat mereka.

Ketika beraksi buat skuad Sang Badak, Matlan pernah beraksi di samping ikon bola sepak Sabah, seperti Scott Ollerenshaw serta Datuk Ong Kim Swee.

Selain turut dikenali bersama pasukan di negeri kelahirannya itu, penyerang berkenaan juga pernah berpeluang beraksi buat skuad kebangsaan beberapa kali.

Antara momen terbaiknya ketika menyarung jersi Harimau Malaya adalah ketika menjaringkan dua gol ketika berdepan England dalam aksi persahabatan pada 1991. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram