KATA orang, dalam satu gambar terselitlah seribu cerita. Menerusi gambar, pelbagai mesej dan kisah boleh disampaikan kepada setiap mata yang melihatnya.
Malah, ada juga yang berkata, menerusi sebuah gambar, kita boleh mendengarkan suara daripada imej yang dirakamkan oleh lensa kamera.
Dalam sukan, setiap bidikan daripada lensa kamera seorang jurufoto pastinya akan memberikan seribu makna daripada aksi-aksi yang berlaku di gelanggang atau padang sama ada ia adalah detik gemilang mahu pun kenangan pahit.
Namun begitu, seperti kerjaya lain, tugas sebagai jurufoto sukan juga tidak lari daripada cabaran. Untuk mengabadikan setiap detik dalam bentuk gambar, mereka perlu berdepan pelbaga situasi yang adakalanya menyukarkan tugas.
Menurut jurufoto sukan berpengalaman, Kamarul Akhir Mohamed Zan, terdapat tiga cabaran besar yang sering dihadapi oleh mereka setiap kali bertugas.
"Cabaran utama yang sering dihadapi oleh jurufoto sukan ialah cuaca tidak menentu seperti hujan lebat, panas terik dan capaian internet yang tidak stabil. Lebih-lebih lagi apabila bertugas di lokasi yang menempatkan puluhan ribu penonton.
"Antara sukan yang paling mencabar ialah merakam aksi berbasikal profesional dari atas motosikal ketika perlumbaan sedang berlangsung. Saya pernah melakukannya ketika menjadi jurufoto rasmi acara Le Tour de Langkawi pada sekitar awal 2000," kata Kamarul kepada Majoriti.
Kamarul memula terjun dalam dunia fotografi sejak usia 15 tahun. — Kamarul Akhir
Anak jati Kuala Lumpur berusia 48 tahun itu walaupun lebih terarah kepada menjadi jurufoto sukan bagi bola sepak, tetapi dia juga pernah menghasilkan fotografi bagi acara lain seperti kumite dan juga berbasikal.
Kamarul berkata, walaupun terdapat cabaran dalam, ia tetap mempunyai nikmatnya bergelar sebagai seorang jurufoto sukan.
Dengan menjadi jurufoto, ia dapat membolehkan Kamarul untuk melihat aksi sukan yang berlaku di depan matanya dengan lebih dekat berbanding mereka yang duduk dekat tempat duduk penonton atau menyaksikannya menerusi kaca televisyen.
"Jurufoto sukan dapat melihat aksi aksi berlaku dalam jarak yang sangat dekat berbanding dengan penonton walaupun ada ketikanya penonton yang menonton di televisyen mempunyai tiga atau empat sudut kamera," ujar Kamarul.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Selangor sudah lama cari saya', Nooa Laine buat keputusan pilih Gergasi Merah
Kamarul mengabadikan aksi atlet kumite pekak negara, V. Yilamaran ketika beraksi di Sukan Deaflympic pada 2022. — Kamarul Akhir
Kamarul turut mendedahkan kerjayanya sebagai jurufoto sukan dapat membantu dirinya mempunyai hubungan baik dengan pemain bola sepak.
Hubungan baik antara mereka cukup penting ia akan mempengaruhi jenis gambar yang dihasilkan ketika perlawanan berlangsung.
"Saya dan jurufoto lain juga mempunyai hubungan rapat dengan ramai pemain bola sepak dan jika berkesempatan saya akan berkongsi tips kepada mereka bagaimana untuk meraikan saat penting depan kamera kerana ketika atlet meraikan sesuatu mereka sering lupa kedudukan kamera.
"Jika pemain bola sepak yang biasa bekerja dengan saya, mereka tahu apa yang perlu mereka lakukan, arah mana mereka perlu pandang dan bagaimana untuk mendapat liputan media yang maksima," jelas Kamarul.
Mula memasuki dunia fotografi sejak berusia 15 tahun dan pernah berkhidmat di bidang berita, hiburan serta luar negara, tetapi dalam arena sukan di mana terhasilnya kenangan terindah Kamarul sebagai jurufoto.
Detik itu hadir sewaktu Piala Asia 2023 saat Faisal Halim menjaringkan gol untuk Malaysia ketika berdepan Korea Selatan.
Menurut Kamarul, cabaran pencahayaan tidak sekata di Stadium Al Janoub dibalas dengan gambar Faisal meraikan gol Malaysia yang cukup cantik dihasilkannya.
"Pada minit ke-51 Faisal Halim menjaringkan gol dari sudut yang tidak dijangka dan dia berlari ke arah kamera kami dan meraikan gol bersama rakan sepasukan.
"Akan tetapi, gol Faisal perlu diteliti oleh pengadil menggunakan sistem VAR, beberapa detik selepas pengadil mengesahkan gol itu sah, stadium bergema dan Faisal meraikan gol yang bersejarah itu.
"Kebetulan pada masa itu, di sebelah kiri Faisal ialah pemain bintang Korea Selatan, Son Heung-min yang tidak menyangka gol itu akan terhasil," ulas Kamarul panjang lebar.
BACA LAGI: Sabah FC jelas sebab mengapa Rozaimi Abdul Rahman tak main skuad Liga Super
Detik Faisal Halim meraikan jaringannya menentang Korea Selatan. — Kamarul Akhir
Dari pandangan kasar, menjadi jurufoto kelihatan mudah sehingga kebiasaannya terdengar ayat 'ala, ketik-ketik je, dah dapat gambar'. Mana tidaknya, ambil saja kamera dan kemudiannya halakan lensa kepada objek yang hendak diambil gambarnya.
Walaupun tampak mudah, tetapi ia tetap memerlukan ilmu untuk menjadi fotografi yang berjaya dan itulah yang Kamarul harapkan kepada generasi baharu jurufoto terutamanya dalam bidang sukan.
Pada hematnya, tidak kira kerjaya apa pun, pendidikan harus ada untuk memastikan apa yang dilakukan itu membawa kejayaan.
"Nasihat saya kepada jurufoto muda yang nak cuba bidang fotografi sukan, sebaiknya ambil kursus asas fotografi yang formal supaya mendapat didikan dan ilmu yang sepatutnya sebelum menceburkan diri dalam fotografi sukan.
"Mulakan berlatih dengan merakam aksi aksi peringkat amatur, mulakan di padang berhampiran rumah. Pemilihan kamera dan lensa pula bergantung kepada kewangan individu serta penggunaannya," kata Kamarul mengakhiri perbualan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram