'Fahami derita pemain', CEO PFAM mahu kerjasama FAM-MFL semakin kuat lawan isu tunggakan gaji


  • Podium
  • Khamis, 22 Feb 2024

Kedah Darul Aman FC masih terpalit isu gaji tertunggak. — KDA FC

PERMASALAHAN gaji yang dihadapi oleh kelab-kelab di Liga Malaysia masih belum menujukkan tanda ia akan berakhir.

Namun begitu, ia tidak mematahkan semangat Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) untuk terus menegakkan hak pemain agar nasib mereka terus terbela.

Melihat kepada situasi tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PFAM, Izham Ismail, mengatakan persatuan itu akan memperhebatkan lagi usaha mendidik para pemain mengenai hak mereka.

Katanya ketika ditemui di PFAM Medical Conference 2024 dekat Insitut Sukan Negara (ISN), Kuala Lumpur, Izham berkata pihaknya akan terus menguatkan hubungan dengan pihak-pihak berkaitan untuk mewujudkan ekosistem bola sepak yang mampan.

"Sama seperti tahun-tahun sebelum ini, kami sentiasa mengadakan sesi libat urus dan mendekati pemain sambil menyediakan mereka dengan pengetahuan undang-undang dan hak mereka.

"Kami mengambil langkah untuk lebih dekat dengan kelab-kelab yang kami rasakan sangat penting antara PFAM dan semua kelab ada hubungan yang baik. Begitu juga dengan FAM dan MFL, kami akan memperhebat hubungan antara mereka supaya semua pihak dapat membina industri yang mampan dan lestari bersama-sama.

"Selain itu, kami juga ingin membina industri yang mempertahan hak pemain, industri yang hormat berkenaan tanggungjawab terhadap pemain dan kelab. Pendekatan ini akan terus dilakukan, dan PFAM berharap semua pemegang taruh akan mempunyai mentaliti yang sama," kata Izham kepada Majoriti.

BACA LAGI: HM mungkin ‘test’ Jepun sebelum terbang ke Qatar

Izham-Ismail-PFAM-ADMC

Izham mahu semua pihak bergabung dengan PFAM atasi masalah gaji pemain. — Agensi

BACA LAGI: Selangor ‘provide’ ilmu Eropah untuk jurulatih 'ubi muda'

Sebelum ini, terdapat kesukaran yang dialami PFAM dalam usaha membasmi permasalahan tunggakan gaji dalam kalangan pemain Liga Super. Namun selepas pelbagai usaha dibuat, semua pihak dilihat semakin seiring dengan mereka dan mula memahami kenapa PFAM begitu serius mengatasi permasalahan tersebut.

Menurut Izham lagi, kelab-kelab perlu "memahami penderitaan pemain" kerana ramai yang tidak menerima bayaran sehingga tiga ke empat bulan. Dalam masa yang sama, dia menyeru agar pemain berani tampil ke depan dan tuntut hak mereka.

Melihat kepada perubahan kalendar Liga Super yang akan diadakan secara rentas tahun (cross-year), Izham mengakui ada peluang untuk masalah tunggakan gaji boleh diminimakan walaupun masih terdapat risiko ia akan berlaku.

"Ada risikonya, tetapi ia juga hadir dengan peluang juga sangat luas untuk liga ini menjadi lebih kompetitif dan dapat menjana lebih banyak pendapatan yang lebih banyak yang akhirnya akan menguntungkan kelab.

"Saya cuma berharap kita sama-sama memeriahkan liga. Ini peluang kita untuk menjadikan liga ini lebih berjaya berbanding sebelum ini. Kami di PFAM turut akan berusaha untuk memeriahkan dan bernilai komersial tinggi. Yang untung nanti kita semua, bukan sekadar pemain, kelab malah penyokong juga," kata Izham lagi.

Izham mengatakan masih terdapat lebih daripada dua kelab Liga Super yang masih mengalami masalah tunggakan gaji selain daripada Kedah Darul Aman FC dan Kuala Lumpur City FC yang sudah diketahui umum.

CEO PFAM itu turut mengesahkan yang isu masalah gaji melibatkan Sabah FC dan Negeri Sembilan FC sudah diselesaikan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram