Saya simpati isu gaji pemain, tapi saya bukan Superman — Safee Sali


  • Podium
  • Sabtu, 24 Feb 2024

Safee mengakui dirinya cukup bersimpati dengan isu tunggakan gaji dialami pemain serta staf kelab Liga Super musim lalu. — Facebook/PFAM

KEMELUT kewangan dialami hampir separuh kelab Liga Super musim lalu menyaksikan pemain dan staf kejurulatihan berdepan isu tunggakan gaji.

Pasukan seperti Kelantan FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Kuala Lumpur (KL) City merupakan antara pasukan paling teruk terjejas dengan tunggakan dilaporkan berlanjutan beberapa bulan.

Masalah berkenaan pasti akan mencalarkan imej bola sepak negara kerana orang ramai sudah 'jemu' dengan isu yang seakan-akan tidak berpenghujung itu.

Desakan terhadap Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) merupakan salah satu langkah diambil dengan penyokong mengharapkan agar mereka dapat menjadi platform untuk memperjuangkan hak pemain.

Namun, bagi Presidennya, Safee Sali, bukanlah mudah bagi pihaknya mencari jalan penyelesaian meskipun tahu isu tunggakan gaji akan mencalarkan reputasi sukan itu.

BACA LAGI: Safee Sali ‘tersenyum’ ada kelab dakwa gaji tunggak hanya 2 bulan

Untitled design - 1

KDA FC, KL City FC dan Kelantan FC merupakan tiga pasukan yang belum menyelesaikan isu gaji.

"Kepada pemain, saya rasa simpati. Saya hari-hari fikirkan mengenai hal ini, tetapi saya bukan Superman boleh selamatkan semua.

"Memang simpati dan kalau mereka rasa jalan terbaik buat itu sebagai jana tempatan, tidak mengapa. Ini adalah pengajaran untuk semua industri bola," katanya.

Bekas penyerang kebangsaan itu berkata demikian kepada media ketika ditemui dalam Majlis Pelancaran Super Safee Soccer School di Sepang, Selangor pada Sabtu.

Setakat ini, Kelantan FC merupakan pasukan paling teruk terjejas akibat isu tunggakan gaji sehingga menyaksikan kelab Pantai Timur itu dihalang daripada menyertai saingan Liga Super 2024/25.

Bagi KDA FC dan KL City FC pula, MFL difahamkan masih memberikan mereka peluang mencari jalan penyelesaian dengan pihak pengurusan masing-masing dilaporkan sedang berusaha bertungkus lumus di sebalik tabir.

BACA LAGI: [VIDEO] Kalau ada kuasa, saya tolak penyertaan pasukan AFL — Safee Sali

2400181

Skuad TRW dihalang daripada beraksi dalam saingan Liga Super musim depan. Facebook/TRW Kelantan FC

Sabah FC, Negeri Sembilan FC dan Kelantan United FC turut dilaporkan berdepan isu sama, namun laporan mengatakan ia sudah diselesaikan beberapa bulan sebelum ini.

Tambah Safee lagi, masalah berkenaan dikhuatiri akan menjejaskan peluang negara melahirkan bintang bola sepak pada masa depan untuk meneruskan legasi terdahulu.

"Mereka ini bakat yang mungkin akan gantikan (Allahyarham) Mokhtar Dahari, akan gantikan saya. Jadi perkara ini merisaukan dan tak bagus untuk bola sepak.

"Kita perlu memastikan industri ini sentiasa terjaga dan berjalan dengan teratur supaya bakat ini tidak lari," katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram