SETAKAT ini, hanya beberapa pasukan Liga Super sudah memulakan sesi latihan masing-masing meskipun saingan bagi musim 2024/25 hanya akan bermula pada awal Mei.
Antara kelab yang sudah memulakan sesi pramusim mereka ialah Selangor FC dengan hampir kesemua pemain sudah melaporkan diri pada 5 Februari lalu.
Persiapan awal dilakukan pasukan Lembah Klang itu memandangkan cabaran besar perlu ditempuhi mereka musim depan setelah berjaya merebut slot ke pentas Asia.
Namun, perancangan pihak pengurusan tidak terhenti di situ apabila mereka mengumumkan bahawa satu sesi latihan di luar negara akan diadakan.
BACA LAGI: Pol Corpas 'update' status kes FIFA, akui terkejut Alfredo Vera pilih TRW
Tangkap layar daripada perkongsian Leo Jeong di laman Instastory peribadinya.
Berdasarkan satu kenyataan yang dikeluarkan, sesi berkenaan bakal berlangsung pada awal Mac, iaitu sebelum pemain Bawah 23 Tahun (B-23) negara dipanggil ke kem latihan menjelang saingan Piala Asia B-23.
Bagaimanapun, sehingga kini, destinasi dipilih Selangor FC masih belum didedahkan sehingga membuatkan penyokong terus tertanya-tanya mengenai perancangan pihak pengurusan.
Persoalan itu seperti akan terjawab apabila seorang ejen bola sepak, Leo Jeong yang bertapak di Korea Selatan mendedahkan sebuah pasukan tempatan akan tiba di negara berkenaan bulan hadapan.
"Dari 8 Mac sehingga 11 Mac, satu pasukan Liga Super Malaysia akan tiba di Korea. Saya sudah bersedia dan mengalu-alukan segala bentuk kehadiran," tulisnya di laman Instastory.
BACA LAGI: 'Sudah terima Oppa Korea baharu', ejen jawab nasib 3 import Perak FC
Leo Jeong ketika menyaksikan perlawanan di Stadium MBPJ, Selangor musim lalu. — Instagram/Leo Jeong
Meskipun tidak mendedahkan pasukan mana yang cuba disampaikan, hanya Selangor FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) dilaporkan bakal mengadakan sesi pramusim di luar negara.
Skuad Harimau Selatan bagaimanapun dilaporkan sudah memilih Portugal sebagai destinasi utama mereka, sekali gus menguatkan lagi tanggapan bahawa mereka merupakan kelab yang dimaksudkan.
Jika Selangor FC secara rasmi memilih negara itu sebagai destinasi pramusim mereka, ia menjadi bukti bahawa persiapan pasukan untuk ke Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2 musim depan berjalan lancar.
Leo Jeong yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Agensi Sukan JMH pernah mencipta nama dalam arena bola sepak tanah air, terutamanya ketika terdapat perbalahan antaranya dengan Kelantan FC berhubung isu bekas pengendali, Choi Moon-sik.
Selain itu, dia juga difahamkan bertanggungjawab menjadi watak penting dalam membawa import Korea Selatan awal musim lalu dengan Sri Pahang FC, Perak FC dan skuad The Red Warriors (TRW) merupakan antara yang menggunakan khidmatnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram