Kembali ke Penang, Sikh Izhan bagi mesej 'simple' tunjuk semangat berkobar


  • Podium
  • Jumaat, 23 Feb 2024

Sikh Izhan dipinjamkan semusim ke Penang FC oleh Selangor FC. — Penang FC

WALAUPUN mengambil sedikit masa, tetapi ia tidak menghalang Penang FC untuk memulakan musim mereka dengan membawa masuk beberapa pemain.

Selepas berjaya mengikat semula Khairu Azrin, Nabil Latpi serta beberapa pemain lain, Harimau Kumbang berjaya membawa masuk penjaga gol muda iaitu Sikh Izhan Nazrel.

Sikh Izhan yang merupakan penjaga gol kebangsaan Malaysia, menyertai Penang selama semusim secara pinjaman daripada Selangor FC.

Perpindahan tersebut menyaksikan pemain itu sekali lagi dieksport keluar oleh Gergasi Merah selepas dipinjamkan kepada Negeri Sembilan FC pada musim lalu.

BACA LAGI: Pacak pentas gergasi tengah padang, Ed Sheeran sekali lagi jadi punca rumput SNBJ ‘koyak rabak’, Hans Isaac tolong standby jawapan siap-siap

BACA LAGI: [VIDEO] Bola padu sangat, ‘pecah’ muka ‘keeper’ sampai runtuh gol

Walaupun berstatus pinjaman, perpindahan tersebut tetap membakar semangat Sikh Izhan apabila penjaga gol berusia 21 tahun itu dapat kembali menabur bakti buat negeri kelahirannya.

Usai pengumuman dibuat, Sikh Izhan di laman X (Twitter) miliknya menzahirkan keterujaannya apabila dapat menyertai Harimau Kumbang.

"Ini woranggg kitahhh rahh!!," kata Sikh Izhan menunjukkan kegembiraannya dapat bersama Penang.

Barisan pemain muda

Apa yang menarik mengenai trio penjaga gol Penang musim ini, Akmal Rizal menghimpunkan tiga pemain muda untuk posisi tersebut.

Selain daripada Sikh Izhan, dua lagi penjaga gol boleh dianggap muda untuk posisi tersebut iaitu Haziq Mukhriz (21 tahun) dan Syafiq Afifi (25 tahun).

Ia menimbulkan persoalan, bagaimanakah Akmal hendak menyusun pemain yang akan beraksi di pintu gol Penang kelak? Berkemungkinan, Syafiq berpeluang untuk menjadi pilihan utama kerana faktor dia sudah berada dalam skuad untuk beberapa musim.

Akan tetapi, pastinya keputusan mendapatkan Sikh Izhan sebagai pemain pinjaman mempunyai sebab tersendiri. Dengan adanya pemain berstatus kebangsaan dalam skuad, ia boleh membuatkan Akmal lebih tertarik untuk memberikan minit permainan kepada Sikh Izhan berbanding Haziq atau Syafiq.

Pastinya persaingan sengit dalam merebut jersi nombor satu Penang musim ini. Akmal pastinya pening kepala untuk tentukan siapakah yang terbaik untuk mengawal gawang Harimau Kumbang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram