Liridon senaraikan 4 pilihan kelab baharu termasuk Kedah dan Selangor


  • Podium
  • Jumaat, 23 Feb 2024

Liridon menikmati musim cemerlang sepanjang beberapa tahun berbakti buat skuad Sang Kenari.

TEMPOH pinjaman pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi bersama Terengganu FC musim lalu tidak membuahkan hasil seperti mana diharapkan penyokong kelab Pantai Timur itu.

Dia yang tiba pada awal musim dari Johor Darul Ta'zim (JDT) hanya merekodkan dua gol dan dua bantuan jaringan dalam 28 penampilan direkodkannya di pentas domestik serta dalam Piala AFC.

Pemain yang juga dikenali sebagai Mat Don itu difahamkan mahu kekal musim depan bersama skuad Sang Penyu dengan impian dapat merekodkan pencapaian lebih membanggakan.

Namun, pandangan berkenaan tidak sehaluan dengan perancangan pihak pengurusan yang mengambil keputusan untuk tidak menyambung khidmat Liridon, sekali gus menyaksikannya kekal dengan status ejen bebas sehingga kini.

Malah, dia juga tidak berpeluang untuk kembali ke pangkuan JDT kerana kontraknya dilaporkan sudah ditamatkan pada penghujung musim lalu sebelum Terengganu FC tampil menawarkan kontrak jangka masa pendek buatnya.

BACA LAGI: 'Saya cuma nampak kebencian', Liridon bagi emoji love hitam kuning tagih sokongan ekor Harimau Malaya

20A05C31-72DA-48A7-B6C9-4ACBD1EFB016

Liridon kurang memberi impak sepanjang semusim beraksi buat skuad Sang Penyu. Facebook/Terengganu FC

Pemain itu pasti akan berdepan kesukaran mendapatkan majikan baharu pada jendela perpindahan kali ini dengan usianya semakin lanjut selain tahap kecergasannya sudah tidak lagi berada di tahap terbaik.

Di samping itu, gaya permainannya yang dikatakan kerap melewatkan tempo permainan membuatkannya tidak lagi sesuai dengan gaya bola sepak cuba diterapkan majoriti kelab Liga Super.

Tetapi, hal berkenaan tidak melunturkan semangat Liridon untuk terus beraksi di tahap tertinggi apabila baru-baru ini, pemain itu mendedahkan senarai pasukan tempatan yang diminatinya.

Perkara itu dikongsikan dalam satu hantaran Instastory ketika jeneral tengah berusia 32 tahun terbabit menjawab satu persoalan mengenai pasukan bakal disertainya musim depan.

BACA LAGI: Liridon cabar fans Harimau Malaya ‘acah-acah’ Mourinho, Guardiola

WhatsApp Image 2024-02-23 at 10.16.14 (1)

Orang ramai berasakan skuad Sang Kenari ialah destinasi terbaik Liridon.

Empat kelab disenaraikan pemain itu ialah Selangor FC, Sri Pahang FC, Kuala Lumpur (KL) City FC serta pasukan lamanya, Kedah Darul Aman (KDA) FC yang cukup sinonim dengannya.

Lebih menarik lagi, Liridon sempat memberikan peluang buat pengikutnya untuk membuat keputusan dengan orang ramai lebih tertarik sekiranya dia dapat menyertai skuad Sang Kenari.

Meskipun ia hanya satu gurauan daripadanya, ia sedikit sebanyak menjadi bukti bahawa pemain kelahiran Kosovo itu masih mahu beraksi dalam Liga Super.

Selain KDA FC, Liridon juga pernah dikaitkan dengan skuad Gergasi Merah setelah kontraknya tamat dengan ia bakal memberi peluang buatnya kembali bergandingan dengan bekas pengendalinya, Tan Cheng Hoe.

Namun, harapan itu seakan-akan sukar untuk direalisasikan kerana Selangor FC sudah mempunyai lambakan pemain untuk diturunkan di posisi utamanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram