PERJALANAN Terengganu FC musim ini di pentas Asia tidaklah begitu membanggakan apabila mereka gagal melepasi peringkat kumpulan setelah hanya berada di kedudukan kedua Kumpulan G Piala AFC 2023/24.
12 mata yang dikutip hasil tiga kemenangan dan tiga keputusan seri jelas tidak mencukupi buat mereka yang berada di tangga kedua dalam kalangan naib juara pasukan.
Bagaimanapun, masih terdapat kenangan manis yang dirasakan penyokong skuad Sang Penyu apabila pasukan itu menjadi satu-satunya kelab dari Asia Tenggara tidak mengalami kekalahan di peringkat tersebut.
Malah, kemenangan bersejarah turut berjaya direkodkan Terengganu FC ketika mereka menewaskan kelab Australia, Central Coast Mariners dalam aksi pembukaan di laman sendiri pada 20 September.
Perlawanan yang berakhir 1-0 berpihak kepada skuad Sang Penyu itu menyaksikan pemain lawan, Nathan Paull menjaringkan gol sendiri pada babak pertama permainan.
BACA LAGI: Disebut-sebut akan ke seteru Pantai Timur, ramai desak Messi Malaysia terus kekal di Terengganu

Perjalanan Central Coast Mariners di pentas Asia masih belum terhenti setakat ini. — Facebook/AFC
BACA LAGI: Kembali ke padang latihan Terengganu beri 'hint' orang kuat Kedah akan ke Pantai Timur
Aksi berkenaan turut menyaksikan benteng pertahanan pasukan Pantai Timur itu cemerlang meskipun hanya membariskan pemain pertahanan sepanjang 90 minit permainan.
Namun, nasib berbeza kini dialami kedua-dua mereka apabila Central Coast Mariners terus megah di pentas Asia selepas mereka muncul juara Kumpulan G.
Kemenangan direkodkan berdepan sebuah lagi kelab dari negara itu, Macarthur FC pada Khamis menyaksikan pasukan bimbingan Abbas Saad tersebut mara ke peringkat akhir Antara Zon.
Mereka dijadualkan bertemu wakil dari India, Odisha FC dalam aksi timbal balik pada 7 dan 14 Mac dengan kemenangan akan terus membawa skuad The Yellow & Navy ke tahap lebih tinggi.
Pencapaian tersebut pasti cukup membanggakan buat Central Coast Mariners yang mengalami kekalahan dalam aksi pembukaan, namun berjaya bangkit ke tahap membanggakan.
Bagi Terengganu FC pula, mereka pasti menyedari kemenangan direkodkan ke atas kelab itu lebih bermakna kerana ia adalah penampilan pertama kelab Pantai Timur tersebut dalam Piala AFC sejak 2012.
Bagaimanapun, mereka perlu meningkatkan prestasi musim depan sekiranya mahu layak ke pentas Asia sekali lagi setelah hanya menamatkan saingan Liga Super 2023 di tangga keenam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
