Disebut-sebut akan ke seteru Pantai Timur, ramai desak Messi Malaysia terus kekal di Terengganu


  • Podium
  • Isnin, 19 Feb 2024

Peluang Faiz Nasir beraksi dengan kerap dalam saingan Liga Super bersama skuad Sang Penyu semakin tipis. — Facebook/Terengganu FC

AKTIVITI perpindahan Terengganu FC pada jendela perpindahan kali ini diteruskan dengan usaha pasukan itu menggugurkan pemain yang dirasakan kurang memberi sumbangan buat mereka pada musim lalu.

Berdasarkan khabar angin, bek kiri skuad Sang Penyu, Arif Fadzilah dikatakan sebagai salah seorang yang bakal meninggalkan kelab Pantai Timur berkenaan.

Dia yang lebih kerap memanaskan bangku simpanan dilaporkan bersedia untuk menyertai Kuching City FC dengan pasukan Borneo itu turut bercita-cita besar kali ini.

Namun, dalam perkembangan baharu, seorang lagi pemain dikatakan bakal meninggalkan skuad Sang Penyu pada jendela perpindahan musim ini demi perkembangan karier sendiri.

Pemain sayap bertubuh kecil, Faiz Nasir yang kurang memberi impak buat Terengganu FC beberapa musim kebelakangan ini mula disebut-sebut bakal menyertai Kelantan United FC.

BACA LAGI: Kembali ke padang latihan Terengganu beri 'hint' orang kuat Kedah akan ke Pantai Timur

406888325_783319477141042_7441863604601957359_n

Faiz Nasir beraksi secara pinjaman bersama skuad Kijang Hijau musim lalu. Facebook/Kelantan United FC

Lambakan pilihan di posisinya memaksa penyerang yang pernah diberi jolokan Messi Malaysia tersebut mencari angin baharu demi mendapatkan minit permainan lebih kerap.

Faiz yang juga dipinjamkan ke kelab itu pada pertengahan musim lalu pasti tidak akan berdepan sebarang isu untuk menyesuaikan diri jika perpindahan itu dimeterai.

Bagaimanapun, khabar angin berkenaan seakan-akan tidak meraih respons baik daripada penyokong skuad Sang Penyu yang berharap khidmatnya dikekalkan.

Bagi mereka, kebolehan serta pengalamannya mampu membawa dimensi berbeza buat jentera serangan pasukan meskipun sekiranya dia hanya dimasukkan dari bangku simpanan.

"Cukuplah dipinjamkan Faiz Nasir tu. Lainlah sekiranya dia dipinjamkan ke pasukan yang boleh tingkatkan prestasi pemain. Beri sahaja dia beraksi bersama Terengganu FC," kata Zul.

BACA LAGI: 'Suprise element' Terengganu FC bakal imbangi keterujaan gandingan trio Akhyar-Mamut-Safawi

428264984_382858594455581_4029334259720921860_n

Faiz Nasir sudah kembali ke sesi latihan skuad Sang Penyu. Facebook/Terengganu FC

"Banyaknya Faiz pergi ke sana, pergi ke situ. Akhirnya, jadi begitu sahaja ya dia," kata Farhan Husin.

"Faiz Nasir tu ada lebih baik jika disimpan. Ketika diperlukan, dia boleh dimasukkan dan dimainkan, lebih-lebih lagi ketika keadaan terdesak," ujar Haz WN.

Pemain berusia 31 tahun itu berdepan kesukaran mendapatkan minit permainan selepas bergelut dengan isu kecergasan serta kecederaan kebelakangan ini.

Kekangan peluang di atas padang turut dialaminya ketika dipinjamkan ke skuad Kijang Hijau musim lalu apabila dia hanya meraih lima penampilan Liga Super.

Tetapi, dengan Terengganu FC terus membawa wajah-wajah baharu, terdapat kemungkinan Faiz terpaksa meninggalkan pasukan itu buat sekali lagi demi kariernya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram