[VIDEO] Masih DNA Croatia, TFC dengarnya rekrut 2 rakan senegara Ivan Mamut termasuk bintang UCL


  • Podium
  • Rabu, 21 Feb 2024

Mamut antara import Croatia yang cemerlang membantu Terengganu pada musim lepas. — Facebook/TFC

TERENGGANU FC (TFC) antara pasukan yang awal membuat sesi latihan pra musim dan usaha berkenaan juga mendapat maklum balas positif daripada penyokong sehingga ramai peminat dilihat berpusu-pusu menyaksikan latihan mereka.

Latihan awal tersebut dilakukan selepas mengumumkan lima pemain baharu, terdiri daripada tiga tonggak tempatan iaitu Akram Mahinan, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid secara pinjaman dari Johor Darul Takzim (JDT).

Dua lagi wajah baharu dibantu dengan tenaga import iaitu Ismahil Akinade yang memperkuatkan jentera serangan Terengganu dan pertahanan kelahiran Leidschendam, Belanda, Matthew Steenvoorden sebagai bek tengah baharu musim 2024/2025.

Proses membawa masuk pemain baharu tidak berhenti di situ apabila skuad Sang Penyu difahamkan mensasarkan dua lagi import untuk membantu memperkasakan dan menambah baik skuad depth mereka.

BACA LAGI: Contohi TFC, 3 nama peledak lokal termasuk 'header' JDT boleh dipinjam ke Perak

WhatsApp Image 2024-02-21 at 09.51.36

Marin juga pernah bermain bersama pasukan Bawah 21 Tahun Croatia.

Terengganu dikhabarkan akan membawa dua pemain import Croatia iaitu Antonio Marin yang berperanan sebagai penyerang sayap kiri dan Igor Postonjski untuk membantu memperkuatkan bahagian tengah pasukan.

Marin yang baru berusia 23 tahun kini beraksi bersama Liga Divisyen Satu Slovenia, NK Olimpija Ljubljana dengan kini dia beraksi sebanyak 18 perlawanan dalam semua kejohanan disertai pasukannya pada musim 2023/2024.

Pemain berketinggian 1.82 meter itu turut merekodkan penampilan di pentas tertinggi Eropah, iaitu ketika pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan turut mencetak satu gol dalam kejohanan berkenaan.

BACA LAGI: Potensi 'reunion' Nafuzi bersama ex-TFC boleh ubati kehilangan Hidalgo di Kedah

Sementara itu, Postonjski pula cemerlang beraksi di saingan Liga Divisyen Satu Croatia bersama NK Varazdin dengan dia sering diberi peluang beraksi sebagai kesebelasan utama pasukannya.

Walaupun fokusnya banyak membantu tengah dan pertahanan pasukan namun statistik golnya yang mencetak enam gol dan satu hantaran bantuan menunjukkan pemain berusia 29 tahun itu rajin turun ke depan membantu bahagian serangan.

Dua rakan senegara Ivan Mamut itu bagaimanapun mempunyai kontrak sehingga 2026 dengan pasukan masing-masing dan pastinya memerlukan wang yang banyak untuk menebus kontrak sekiranya Tomislav Steinbruckner ingin mendapatkan khidmat mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram