Kembali ke padang latihan Terengganu beri 'hint' orang kuat Kedah akan ke Pantai Timur


  • Podium
  • Jumaat, 16 Feb 2024

Skuad Sang Penyu kembali menjalani latihan untuk mempersiapkan diri bagi saingan musim depan. — Facebook/Terengganu FC

FINALIS Piala Malaysia tahun lalu, Terengganu FC sedang giat memperkuatkan pasukan setelah memperkenalkan lima rekrut baharu buat saingan akan datang.

Kehadiran Akram Mahinan dari Kuala Lumpur (KL) City FC dituruti keputusan membawa masuk duo Johor Darul Ta'zim (JDT), Akhyar Rashid dan Safawi Rasid yang difahamkan hadir dengan status pinjaman.

Tidak lama selepas itu, skuad Sang Penyu tampil mengumumkan kemasukan dua import, Matthew Steenvoorden serta bekas penyerang Kelantan United, Ismahil Akinade.

Percaturan tersebut sememangnya membawa keriangan buat penyokong pasukan Pantai Timur itu apabila ratusan daripada mereka hadir ketika sesi latihan pertama musim di Gong Badak, Terengganu pada Khamis.

BACA LAGI: [VIDEO] Gara-gara insiden dalam terowong, kelab Terengganu enggan teruskan permainan berdepan JDT

426468870_383027627772011_7694758317713550402_n

Ratusan penyokong meluangkan masa menyaksikan sesi latihan pertama skuad Sang Penyu bagi 2024. Facebook/Terengganu FC

Selain berpeluang melihat pemain kesayangan mereka kembali di atas padang, orang ramai mengambil masa berkenaan untuk menilai impak awal rekrut baharu.

Bagaimanapun, apa yang menarik daripada sesi tersebut adalah apabila sebahagian kecil penyokong melihat kelibat bekas pengurus Terengganu FC, Zul Fadzli Rozi di padang latihan.

Hal berkenaan turut dibuktikan menerusi sekeping foto yang kini tular di media sosial memaparkan individu dikenali sebagai Joe Rozi itu di samping bek kiri pasukan, Alif Zakaria.

Kehadirannya sememangnya menimbulkan persoalan memandangkan dia difahamkan masih bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC bersama bekas ketua jurulatih skuad Sang Penyu, Nafuzi Zain.

BACA LAGI: 'Suprise element' Terengganu FC bakal imbangi keterujaan gandingan trio Akhyar-Mamut-Safawi

427971678_984703023024018_5389140384225100931_n

Kelibat Joe Rozi (baju putih) sememangnya mencuri perhatian pelbagai pihak.

Namun, beberapa bulan kebelakangan ini, terdapat ura-ura mengatakan Zul Fadzli bakal kembali ke Terengganu FC bagi menggantikan Fadhil Wahab yang dikatakan sudah tidak terikat dengan kelab berkenaan.

Kepulangannya pasti akan dialu-alukan penyokong dan pemain yang dikatakan cukup selesa dengan kelibatnya yang menghabiskan beberapa musim bersama kelab itu.

Meskipun keputusan akhir masih belum diumumkan, gandingannya di samping ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner pasti mampu membawa skuad Sang Penyu kembali menjadi pasukan digeruni dalam Liga Super musim depan.

Mereka yang menamatkan saingan tahun lalu di kedudukan keenam sememangnya mahu bangkit daripada kedudukan itu dengan kemasukan bintang baharu menjadi bukti atas kesungguhan berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram