[VIDEO] Sah milik Pahang, ramai harap Adam Nor Azlin mampu contohi 'abang' di Darul Makmur


  • Podium
  • Rabu, 21 Feb 2024

Adam Nor secara rasmi diumumkan sebagai pemain baharu skuad Tok Gajah baru-baru ini. — Facebook/Sri Pahang FC

KHABAR angin mengenai destinasi bekas pertahanan muda negara, Adam Nor Azlin akhirnya terjawab apabila dia disahkan milik Sri Pahang FC pada Rabu.

Pemain yang pernah beraksi di bahagian serangan itu memilih untuk ke kelab Pantai Timur berkenaan selepas tujuh tahun berada di bangku simpanan Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Memperkenalkan wajah baru Tok Gajah, Adam Nor Azlin. Pemain versatil berusia 28 tahun produk Harimau Muda, dan turut berpengalaman menyarung jersi kebangsaan. Selamat datang Adam ke Darul Makmur," tulis Sri Pahang FC di laman media sosial kelab.

Perpindahan itu menyaksikan ura-ura mengatakannya bakal ke Perak FC terpadam meskipun orang ramai mengatakan ia adalah destinasi terbaik buat kariernya.

Namun, peluang berada dalam skuad Tok Gajah yang memiliki lambakan bintang serta dikendalikan jurulatih berpengalaman, Fandi Ahmad pasti sukar ditolak.

BACA LAGI: Bukan setakat tonggak KDA FC, winger Harimau Muda juga makin hampir ke Sri Pahang

1848121

Adam sukar mendapat peluang sepanjang tujuh tahun bersama skuad Harimau Selatan. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Selain itu, prestasi pasukan itu adalah lebih baik dengan mereka menamatkan saingan Liga Super di tangga kelima sementara skuad The Bos Gaurus (TBG) hanya di tangga ke-11.

Kehadiran Adam turut membuatkan penyokong skuad Tok Gajah kian teruja dengan kualiti dimilikinya setelah bertahun-tahun menimba pengalaman di JDT.

Di samping berharap dia mampu mengukuhkan lagi benteng pertahanan pasukan, peminat setia pasukan turut berharap bek tengah itu dapat memberi tunjuk ajar buat pemain muda.

"Posisi sebenarnya adalah sebagai pemain tengah bertahan, tetapi selalu diletakkan sebagai bek tengah. Moga meningkat prestasinya bersama Sri Pahang FC," kata Syam Along.

BACA LAGI: Dilepaskan Sri Pahang, Muslim Ahmad tukar angin sertai sukan Muay Thai?

"Ini masanya buat anda menyerlah, Adam. Buktikan kepada semua kau masih mampu untuk bersaing di Liga Super walaupun telah lama bermain di Liga MFL. Berumur 28 tahun membawa haluan dengan pasukan baharu. Selamat berjaya Adam," kata SLF Malaysia.

"Bagus, dia sememangnya antara bek tengah terbaik dalam skuad JDT II, tetapi sering lakukan kesilapan. Kadang-kadang, boleh juga lewat dalam membuat refleks sehingga membuatkannya diletakkan dalam pasukan simpanan. Boleh jadi penambahan berkualiti buat Sri Pahang FC," kata Mi Mestalla.

Adam Nor merupakan pemain pertama baharu diumumkan skuad Tok Gajah setelah mereka turut mengumumkan dua pemain pinjaman, Syazwan Andik dan Azrif Nasrulhaq akan kekal buat semusim lagi.

Untuk rekod, pemain kelahiran Selangor itu menjadi watak penting ketika membantu JDT II mara ke perlawanan akhir Piala MFL musim lalu dengan 15 penampilan direkodkan.

Bagaimanapun, kekalahan di tangan Terengganu FC II menyaksikan skuad muda Harimau Selatan gagal menjuarai edisi sulung kejohanan tersebut. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram