Contohi TFC, 3 nama peledak lokal termasuk 'header' JDT boleh dipinjam ke Perak


  • Podium
  • Rabu, 21 Feb 2024

Sang Seladang ketandusan pemain di posisi serangan menjelang saingan musim 2024. — Facebook/PerakFC

KEMASUKAN dua tonggak utama Harimau Malaya ke Terengganu FC (TFC) pada musim depan telah membuka mata ramai pemerhati bola sepak tanah air.

Malah, penyokong setia skuad Penyu juga bagai terkena 'pukauan' apabila sanggup turun ke padang latihan hampir setiap hari untuk menyaksikan pemain kesayangan mereka menjalani sesi latihan menjelang saingan musim 2024 kelak.

Situasi itu secara tidak langsung memberi kesan kepada beberapa pasukan lain yang dilihat sedikit tercicir berbanding pasukan Pantai Timur itu yang kini sedang rancak membuat persiapan pemain-pemainnya.

BACA JUGA: Perak FC antara 2 kelab tunggu 'queue' dapatkan khidmat sayap lincah Gergasi Merah

Penyokong Perak FC antara kelab yang dilihat 'cemburu' dengan situasi tersebut apabila rata-rata mahu pengurusan The Bos Gaurus (TBG) mengambil langkah sama.

Ia antara lain dengan membawa masuk pemain tempatan berstatus bintang yang mampu memberikan 'hype' sama dengan apa yang dimiliki skuad Peteh ketika ini.

Ketika ini, posisi penyerang antara yang dirasakan boleh dibawa masuk secara pinjaman ke skuad Seladang dengan tiga nama peledak lokal disebut mampu menggalas tugas getir di posisi itu.

Seperti situasi semasa, posisi serangan Perak agak 'kritikal' susulan pasukan itu dilaporkan mengekalkan dua pemainnya iaitu Wan Zack Haikal dan Alif Zikri selaku penggempur di bahagian depan.

Meskipun dikhabarkan terdapat dua lagi penyerang import yang bakal dibawa masuk kelak, namun peminat kurang yakin dengan kredibiliti pemain tersebut dengan pilihan utama kebanyakannya masih menaruh kepada khidmat pemain lokal.

Justeru, tiga pemain tempatan berikut diyakini mampu mengembalikan kehangatan bola sepak Perak sekali gus mengembalikan era kegemilangan pasukan itu pada saingan musim 2024.

created by InCollage

Shahrel Fikri

BACA JUGA: Syafiq Ahmad calon gred A boleh meletup ganti Shahrel Fikri

Bekas penyerang Selangor FC, Shahrel Fikri atau lebih dikenali sebagai Eky, menjadi pilihan utama penyokong selaku peledak baharu TBG.

Meskipun persembahannya sedikit goyah sepanjang bersama kelab Lembah Klang itu, namun aksinya kembali meningkat selepas mewakili Negeri Sembilan FC dengan catatan rekod 16 penampilan dan enam gol berjaya disumbangkan pada musim lalu.

Malah, pengalamannya mewakili Harimau Malaya di pentas antarabangsa juga boleh menjadi tonik terbaik buat Sang Seladang yang pastinya ingin terus mempamerkan peningkatan pada cabaran musim depan.

Perak di bawah kendalian Yusri Che Lah mula membuahkan hasil apabila berjaya mengelak tersingkir daripada saingan utama Liga Super dan situasi tersebut semakin mendapat perhatian peminat yang mula menaruh harapan tinggi terhadap jurulatih kelahiran Kangar, Perlis itu.

partibn

J. Partiban

Pemain versatil, J. Partiban berkebolehan untuk diturunkan dalam tiga posisi berlainan di kiri ataupun kanan sayap serta tengah menyerang di bahagian kiri.

Memiliki ketinggian 1.75 meter, pemain kidal itu juga antara calon yang disebut mampu menyumbang kejayaan buat pasukan Perak.

Memiliki kelebihan sepakan jarak jauh, kepantasan serta kawalan bola kemas di posisi sayap kiri antara ramuan terbaik yang boleh dimiliki Yusri Che Lah.

Malah, peminat juga telah mula membayangkan gandingan mantap yang boleh terbentuk menerusi duo Wan Zack Haikal dan pemain Kedah FC itu.

syafiq

Syafiq Ahmad

Syafiq Ahmad merupakan nama yang tidak asing lagi dalam arena bola sepak negara.

Berpengalaman luas di peringkat tertinggi bersama kelabnya Johor Darul Takzim (JDT) mahupun skuad kebangsaan, rata-ratanya amat menyanjungi kehebatan peledak utama Harimau Selatan itu.

Namun, kelibatnya di atas padang kian tergugat dengan lambakan import sedia ada di JDT, sekali gus membataskan kebolehannya selaku penyerang ataupun 'header' yang terbaik pernah dimiliki negara satu ketika dahulu.

Kerap menjaringkan gol menerusi tandukan ketika menyarung jersi Harimau Malaya sebelum ini, fans TBG mengharapkan agar pemilihan pemain itu mendapat pertimbangan daripada pengurusan Perak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram