'Sudah terima Oppa Korea baharu', ejen jawab nasib 3 import Perak FC


  • Podium
  • Khamis, 06 Jul 2023

Seo-nung memiliki prestasi yang agak baik dengan memiliki tiga gol daripada tujuh penampilan. — Facebook/Perak FC

AWAL musim 2023, Perak FC mengambil import termasuk daripada Korea Selatan bagi membentuk satu pasukan yang lengkap dengan tujuan memburu tiga kejuaraan utama yang ditawarkan bagi musim ini.

Mereka ialah Seo Seo-nung, Lee Joo-Han dan Sim Hyun-ki.

Dua daripadanya iaitu Lee Joo-Han dan Hyun-Ki bermain di Perak II, manakala Seo-nung bermain di skuad utama Perak.

Ketibaan mereka dalam skuad The Bos Gaurus (TBG) ketika itu antara lain bertujuan membantu memulihkan prestasi skuad Perak yang berada di bawah pemilikan baharu.

Tumpuan banyak diberikan kepada Seo-nung kerana dia bermain di skuad utama di bawah kendalian Datuk Lim Teong Kim pada waktu itu.

Keputusannya untuk meletakkan pemain kelahiran Korea Selatan, Seo-nung sebagai penyerang dilihat amat membuahkan hasil.

Trio import Perak FC yang berasal dari Korea Selatan. Facebook/Perak FC

Seo-nung juga memiliki prestasi yang agak baik dengan memiliki tiga gol daripada tujuh penampilan setakat ini.

Prestasinya menggembirakan penyokong apabila mampu memberikan satu kemenangan kepada Perak FC tatkala penyerang utama pasukan itu iaitu Hadi Fayyadh dilihat kurang menyengat kerana tidak berjaya menyumbang jaringan kepada pasukan.

Namun, import Korea Selatan berusia 22 tahun itu bergelut dengan isu kecederaan selepas aksi berdepan Johor Darul Takzim (JDT) yang menyaksikan Perak tewas 0-5 kepada Harimau Selatan.

Kecederaan itu menyebabkan dia terlepas lapan perlawanan Liga Super musim ini hingga ketiadaannya di atas padang mendatangkan teka-teki kepada penyokong berkenaan statusnya.

Hadi Fayyadh (kiri) ketika sesi latihan bersama salah seorang import dari Korea Selatan Perak FC. — Facebook/Perak FC

Menjelang jendela perpindahan kedua, sudah tentu penyokong mahu tahu sama ada pemain itu akan kekal bersama dengan pasukan Utara tanah air tersebut atau tidak.

Bagaimanapun, ejen Seo-nung yang berpangkalan di Korea Selatan, Myeongho Jeong dalam satu hantaran di Instagram pada Rabu memaklumkan, pemain itu akan kembali beraksi bersama TBG dalam masa terdekat.

Khabar gembira itu dikongsikannya bagi menjawab soalan daripada salah seorang pengguna Instagram yang bertanya tentang status keberadaan pemain tersebut.

"Akan kembali dalam perlawanan akan datang," kata Myeongho Jeong menerusi Instagramnya, @leo_jeong10 ringkas.

Seo-nung memiliki prestasi yang agak baik dengan memiliki tiga gol daripada tujuh penampilan. — Facebook/Perak FC

Dalam pada itu, Myeongho Jeong yang juga merupakan ejen kepada bekas ketua jurulatih Kelantan FC, Choi Moon-sik, turut memaklumkan tentang perkembangan terkini mengenai dua lagi pemain Perak iaitu Joo-Han dan Sim Hyun-ki.

Katanya, kedua-dua pemain tersebut sudah pun dihantar ke pasukan lain, namun belum dapat dipastikan kelab yang dimaksudkan olehnya.

"Send to another team already (Sudah dihantar ke kelab lain)," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Myeongho Jeong turut berkongsikan perkhabaran baharu mengenai ketibaan seorang import Korea Selatan, Kim Youn Do yang bakal beraksi di posisi pertahanan.

Youn Do merupakan bekas pemain bagi skuad bawah 19 tahun Daegu FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram