MENGHUNI tangga ke-11 saingan Liga Super musim 2023 bukanlah perkara yang diinginkan oleh Ketua Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah.
Susulan perkara itu, pengendali The Bos Gaurus (TBG) itu mahu melakukan perubahan sebelum musim 2024/25 bermula.
Baru-baru ini, Perak sudah mengumumkan ketibaan lima pemain baharu antaranya Adilet Kanybekov dari Kyrgyzstan yang bakal beraksi di posisi pemain tengah bertahan.
Selain membawa masuk kapten Kyrgyzstan Bawah 23 Tahun (B-23) itu, bek kiri, Tommy Mawat Bada, Ariff Ar-Rasyid (pertahanan), Ramadhan Hamid (penjaga gol) dan pemain tengah menyerang, Nur Azfar Fikri Azhar antara wajah baharu yang turut tiba di bumi Perak.
BACA LAGI: Elak panaskan bangku simpanan, Rahadiazli dilepaskan secara loan
Kanybekov diberi kepercayaan untuk menjadi kapten skuad B-23 Kyrgyzstan. — Instagram/Adilet Kanybekov
Yusri berkata, kelab tersebut akan membawa masuk 10 muka baharu termasuk tiga import yang masih belum tiba selain mendedahkan bahawa Kanybekov mempunyai banyak masa untuk mencari keserasian bersama kelab tersebut.
“Saya rasa 10 minggu sudah memadai untuk Kanybekov meningkatkan kecergasannya dan menjalin persefahaman yang lebih baik dengan pemain lain.
“Akan ada tiga pemain asing baharu tetapi kami akan mengumumkan nama dalam masa yang ditetapkan kerana mereka masih perlu melengkapkan ujian kecergasan mereka," katanya.
Dalam masa yang sama, kelab itu juga mendedahkan bahawa mereka sedang berbincang dengan penjaga gol, Johor Darul Takzim (JDT), Haziq Nadzli untuk menyertai pasukan tersebut.
Kehadiran Haziq dan Ramadhan dilihat akan memberikan Yusri banyak pilihan di posisi penjaga gol selepas musim lalu mereka bolos 55 gol.
Tambahnya lagi, musim baharu akan membawa cabaran baharu kerana kelab lain turut membina semula pasukan mereka.
"Pihak pengurusan telah menetapkan sasaran untuk saya dan oleh itu sudah tiba masanya untuk bekerja keras untuk mencapainya," jelasnya.
Di samping itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perak, Bobie Farid Shamsuddin berkata, kelab itu berkemungkinan akan ke luar negara untuk perlawanan pramusim namun bergantung kepada sokongan penaja dan pihak berkepentingan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram