[VIDEO] Malang tak berbau, fans futsal JDT kena 'headshot' rembatan tonggak import Brazil


  • Podium
  • Isnin, 19 Feb 2024

Pertemuan cukup hangat berlangsung di KSN Panasonic antara JDT dan Gombak TOT United hujung minggu lalu. — Facebook/FAM

MINGGU pembukaan musim baharu Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) menyaksikan keputusan cukup menakjubkan daripada kesemua lapan pasukan bertanding dalam divisyen teratas.

Juara tahun lalu, Pahang Rangers yang terikat 6-6 dengan Shah Alam City serta kejayaan Johor Darul Ta'zim (JDT) membenam Gombak TOT United merupakan antara skor akhir mencipta kejutan.

Malah, pelbagai momen menarik turut disaksikan dalam aksi-aksi berlangsung pada hujung minggu lalu yang pastinya akan terus menghangatkan arena futsal negara.

Salah satu insiden yang menjadi bualan hangat adalah apabila penyokong JDT tidak bernasib baik ketika menyaksikan perlawanan di Kompleks Sukan Negara (KSN) Panasonic, Shah Alam, Selangor, pada minggu lalu.

Berdasarkan satu video yang kini tular di aplikasi TikTok, wanita tersebut yang berada di barisan hadapan tempat duduk penyokong mengalami kecederaan kecil setelah bola muntah tepat mengenai kepalanya.

BACA LAGI: [VIDEO] Import Brazil sedia jadi 'top scorer' liga, bantu Sabah jadi nombor 1

BACA LAGI: [VIDEO] Aksi kelab Selangor-Pahang Rangers jadi hangat, ramai selar mentaliti pemain profesional

Ketika itu, import pasukan Selatan tanah air itu, Helio Neto sedang melakukan percubaan tepat ke arah pintu gol Gombak TOT United, namun sempat dihalang pemain lawan.

Namun, hadangan berkenaan menyaksikan bola menuju tepat ke arah penyokong wanita berkenaan yang dilihat menyaksikan aksi itu bersama ahli keluarganya.

Insiden itu disusuli permohonan maaf daripada pemain kedua-dua pasukan sambil kenalan peminat sukan tersebut menenangkannya yang kelihatan cuba menahan kesakitan.

Momen terbabit bagaimanapun tidak melunturkan fokus JDT yang meraih tiga mata penuh dengan mereka kini berada di kedudukan teratas carta MPFL 2024.

Skuad Harimau Selatan yang kini dikendalikan Juan Antonio Miguel Garcia bakal berdepan Terengganu selepas ini dengan mereka turut mencatatkan keputusan memberangsangkan selepas menewaskan Kuala Lumpur (KL) City 6-1.

Bagi Gombak TOT United pula, mereka mempunyai peluang untuk kembali ke landasan apabila dijadualkan berdepan Sabah dalam perlawanan kedua pada Sabtu di KSN Panasonic. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram