SKUAD Sang Badak sekali lagi membuktikan kualiti mereka dalam Liga Super musim lalu setelah menamatkan saingan di kedudukan ketiga dengan tujuh mata membezakan mereka berbanding naib juara, Selangor FC.
Prestasi cemerlang itu turut diteruskan di pentas Asia apabila kelab Borneo tersebut melangkah ke separuh akhir Zon Asean sebelum tersingkir di tangan kelab Australia, Macarthur FC 13 Februari lalu.
Pencapaian berkenaan dilihat berpunca daripada pendekatan diambil pengendali, Datuk Ong Kim Swee yang cukup berpengalaman dalam menyusun anak-anak buahnya.
Namun, bagi sesetengah penyokong, kredit masih perlu diberikan kepada pemain Sabah FC yang memberi 100 peratus setiap kali diletakkan di atas padang.
BACA LAGI: Selain 'cuti lama', Daniel Ting jujur akui kesilapan sendiri lepas Sabah tersingkir
Skuad Sang Badak sekali lagi menikmati musim cemerlang pada 2023. — Facebook/Sabah FC
Antara watak utama bagi musim cemerlang mereka pada 2023 ialah bek tengah, Gabriel Peres dengan kehadirannya menyaksikan benteng pertahanan skuad Sang Badak semakin kukuh.
Dia yang menyertai pasukan itu pada Februari 2023 memberi sinar baharu buat pengikut setia pasukan setelah beraksi cemerlang sepanjang kempen pramusim mereka.
Selain peka dalam menyekat serangan lawan, pemain berusia 26 tahun berkenaan juga sering diberikan kepercayaan untuk membantu barisan serangan, lebih-lebih lagi ketika situasi bola mati.
Jadi, tidak hairanlah apabila keputusan pihak pengurusan Sabah FC mendapatkan Peres menerima respons baik daripada penyokong yang percaya akan kualiti dimilikinya.
BACA LAGI: [VIDEO] Import Brazil sedia jadi 'top scorer' liga, bantu Sabah jadi nombor 1
Peres (tengah) boleh diangkat sebagai salah seorang watak utama skuad Sang Badak musim lalu.
Kepercayaan dan sokongan berkenaan membuahkan hasil apabila bek tengah terbabit menjadi watak penting buat mereka dengan 23 penampilan direkodkannya dalam saingan Liga Super.
Malah, sumbangannya tidak terhenti di situ kerana pemain itu turut diberikan peluang beraksi dalam kesemua tujuh perlawanan Piala AFC buat Sabah FC.
Ketajamannya di hadapan pintu gol juga tidak kurang hebatnya kerana Peres berjaya merekodkan enam gol sepanjang menyarung jersi skuad Sang Badak.
Dia difahamkan akan terus menjadi milik pasukan berkenaan musim depan meskipun mereka berdepan isu tunggakan gaji sebelum ini yang dilaporkan sudah menemui jalan penyelesaian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram