Potensi 'reunion' Nafuzi bersama ex-TFC boleh ubati kehilangan Hidalgo di Kedah


  • Podium
  • Selasa, 20 Feb 2024

Rahmat Makasuf boleh dapatkan semula prestasinya jika kembali bersama Nafuzi di Kedah. — Facebook/Penang FC

KHABAR angin yang kurang enak didengar buat penyokong Kedah Darul Aman FC apabila mereka dijangka bakal kehilangan pemain import handalan dari Argentina.

Nama Manuel Hidalgo dikatakan bakal dikeluarkan daripada skuad dengan pemain tersebut dijangka akan menyertai sebuah kelab di Pantai Timur.

Jika benar Hidalgo meninggalkan Sang Kenari, ia akan meninggalkan ruang besar untuk diisi kerana Kedah kehilangan seorang pemain yang cukup kreatif dan berkualiti.

Dalam analisis ringkas Majoriti kali ini, kita akan merungkai tiga pengganti yang boleh Kedah pertimbangkan bagi mengisi tempat Hidalgo. Harus diingat, senarai kali ini akan tertumpu kepada pemain tempatan dengan mengambil kira faktor kewangan semasa Kedah:

1. Rahmat Makasuf

Pemain sayap ini mencipta tumpuan apabila menjadi antara pemain yang diberikan peluang oleh Nafuzi Zain ketika kedua-duanya bersama di Terengganu FC.

Rahmat berjaya menunjukkan potensi yang menyaksikan dia mampu menyerang kubu lawan dengan baik selain daripada mempunyai larian deras dan penyudah kompeten.

Pemain sayap berusia 26 tahun itu kemudiannya berpindah ke Penang FC pada musim 2023. Pada pra-musim, persembahan cemerlangnya berjaya mencipta keterujaan dalam kalangan penyokong terutamanya sewaktu Piala Harapan.

Namun begitu, kecederaan dialaminya membantutkan prestasinya. Jika Rahmat direkrut Kedah, peluang bersatu semula dengan Nafuzi mungkin boleh membantunya pemain tersebut untuk kembali ke puncak prestasi.

Kini tidak mempunyai kelab, Kedah boleh cuba mendapatkan Rahmat tanpa perlu pecahkan tabung.

Rahmat-Makasuf-Penang-2022

Rahmat Makasuf beraksi sebagai pemain pinjaman di Penang pada musim lalu. — Agensi

2. Zuhair Aizat

Satu lagi nama yang boleh dipertimbang oleh Kedah adalah mendapatkan pemain sayap bernama Zuhair Aizat.

Pemain sayap kanan berusia 27 tahun itu juga seperti Rahmat iaitu tidak mempunyai kelab selepas kontraknya bersama-sama Sri Pahang FC telah pun berakhir.

Beraksi untuk Tok Gajah sejak 2016 dalam karier seniornya, Zuhair telah melakukan 50 penampilan buat Sri Pahang sambil menghasilkan tiga gol dan tiga bantuan jaringan.

Pada awal kemunculan, Zuhari merupakan pemain yang mempunyai potensi tinggi untuk menjadi pemain sayap berkualiti tinggi namun ia seakan tidak menjadi seperti dirancang. Akan tetapi, jika berjaya diasah semula oleh Nafuzi, potensi Zuhair mungkin boleh direalisasikan di Kedah.

1931312

Zuhair Aizat juga boleh dipertimbang Nafuzi untuk direkrut. — Sri Pahang FC

3. Danial Asri

Jika Rahmat dan Zuhair adalah nama yang kini tidak mempunyai kelab selepas tamat musim 2023, Danial Asri merupakan nama tunggal yang masih diikat oleh kelab Liga Super iaitu Selangor FC.

Penyerang berusia 23 tahun itu kini semakin kerap diturunkan sebagai pemain sayap terutamanya di sebelah kiri. Namun begitu, Danial masih lagi kompeten untuk beraksi di bahagian kanan jika diperlukan.

230448554_222600999871636_8037582007214026887_n

Danial Asri merupakan seorang pemain klinikal di depan gol. — Agensi

Seorang pemain yang turut mempunyai kualiti penyudah yang baik, semestinya jika minit permainan mencukupi diberikan kepada Danial dia mampu menjadi pemain yang tajam dan mencapai potensi tingginya.

Kedah pernah meminjam Azrin Afiq pada musim lalu, dan Nafuzi mungkin boleh melalui jalan yang sama apabila cuba mendapatkan Danial daripada Gergasi Merah dengan harapan dapat menguatkan skuad Sang Kenari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram