SELANGOR FC membawa beberapa nama besar dalam kalangan pemain import untuk musim baharu dengan harapan dapat menguatkan lagi cabaran mereka meraih piala.
Umar Eshmurodov, Alvin Fortes dan Ronnie Fernandez merupakan muka baharu dalam kalangan pemain import yang dibawa Selangor pada musim ini.
Namun begitu, kelihatan masih lagi terbuka satu lagi slot untuk pemain import untuk Selangor isi bagi saingan musim 2024/2025. Seeloknya, Selangor perlu mengisi slot tersebut dengan cuba membawa masuk pemain pertahanan.
Analisis ringkas Majoriti kali ini akan merungkai satu nama iaitu ketua pasukan Thailand iaitu Theerathon Bunmathan dan mengapa dia adalah calon sesuai untuk Selangor bawa ke Liga Super:
1. Aura sebagai kapten
Selangor kehilangan aura ketua pasukan selepas mereka tidak lagi bersama dengan Brendan Gan.
Pemergian Brendan membuka ruang untuk pemain lain tampil ke depan menjadi ketua pasukan. Mereka mungkin ada Safuwan Baharuddin untuk menggantikan tempatnya.
Jika Selangor mendapatkan Theerathon, mereka akan memperoleh seorang lagi pemimpin yang terbukti yang mampu memimpin barisan pemain Gergasi Merah ke tangga kejayaan.
Theerathon sendiri merupakan ketua pasukan di peringkat kelab dan skuad kebangsaan Thailand. Oleh itu, jika Selangor berjaya mendapatkan khidmatnya, mereka berhasil memperoleh seorang pemimpin cemerlang untuk Gergasi Merah.
BACA LAGI: Contohi 3 kelab termasuk Selangor elak Pan-gon guna muka lama menjelang ‘double header’ lawan Oman
Theerathon (tiga dari kiri) merupakan pemain paling bernilai di Piala AFF 2022. — FA Thailand
2. Pengalaman luas di Asia
Selangor pastinya akan memperoleh manfaat apabila mereka mendapatkan pemain berkualiti seperti Theerathon.
Hal ini kerana, pengalaman luasnya beraksi di peringkat Asia pasti membantu membezakan kualiti Theerathon dengan pemain-pemain lain.
Theerathon pernah beraksi di saingan J.League bersama-sama Vissel Kobe serta Yokohama F. Marinos dan kerap bermain dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL).
Walaupun sudah berusia 34 tahun, tetapi pengalaman yang ada padanya membuatkan Theerathon masih lagi relevan untuk menjadi nadi utama Selangor jika disambar.
BACA LAGI: 'Inilah peluang kita', kata-kata TMJ 7 tahun lepas bukti Harimau Malaya di landasan tepat
Pengalaman beraksi di Jepun menguatkan CV Theerathon. — Agensi
3. Penyelesaian di bahagian pertahanan
Ramai penyokong Selangor bersetuju perubahan perlu dilakukan terutamanya di bahagian pertahanan kiri dan Theerathon adalah calon sesuai untuk itu.
Pemain pertahanan kiri itu boleh menyelesaikan masalah kurangnya kompeten di posisi tersebut. Dengan kualiti yang ada padanya, Theerathon boleh menghadirkan bahaya kepada pihak lawan jika Selangor menyambarnya.
Theerathon boleh bermain di bahagian lain selain pertahanan kiri. — Agensi
Pada masa sama, Theerathon juga merupakan pemain yang versatil dan boleh beraksi di pelbagai posisi lain.
Selain pertahanan kiri, ketua pasukan Thailand itu juga boleh beraksi di bahagian sayap kiri serta pemain tengah bertahan. Kepelbagaian yang ada padanya juga boleh membuatkan Selangor ada banyak pilihan kerana Theerathon adalah seorang pemain pelbagai guna (utilty player). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram