SEBELUM ini, kencang khabar angin di media sosial mengatakan salah seorang tonggak Terengganu FC II akan berhijrah ke kelab Liga Super pada jendela perpindahan kali ini.
Bek tengah, Aqil Irfanuddin yang menjadi watak penting ketika membantu pasukannya meraih kejayaan dalam saingan Piala MFL dikatakan sedang dalam buruan.
Antara destinasi yang dikatakan cukup sesuai buatnya ialah Penang FC memandangkan mereka mengalami masalah besar dari segi pertahanan sepanjang kempen Liga Super 2023.
Selain itu, pasukan yang dikatakan mahu memberi peluang lebih kerap buat pemain tempatan mampu merealisasikan hasrat pemain berkenaan dalam meraih minit permainan dalam divisyen teratas bola sepak tanah air.
Bagaimanapun, ura-ura itu kian menyepi di media sosial kerana tiada laporan rasmi mengatakan terdapatnya perbincangan antara kedua-dua kelab tersebut mengenainya.
BACA LAGI: ‘Ajok Saha boh’, ada cadangan mahu legenda Terengganu sertai Hai-O di TFC II
Aqil (tengah) menjadi watak penting ketika membantu skuad Sang Penyu musim lalu. — Facebook/Terengganu FC II
Kegagalan memeterai perpindahan itu bakal menyaksikan Aqil perlu mencari pasukan baharu atau kekal bersama skuad muda Sang Penyu sementara skuad Harimau Kumbang perlu mengenal pasti sasaran lain.
Namun, dalam perkembangan baharu, sebuah laman penyokong dipercayai di Facebook, Terengganu 11 mengatakan pertahanan berusia 26 tahun tersebut sudah semakin hampir menyertai Penang FC.
"Dikhabarkan, kapten Terengganu II musim lalu, Aqil Irfanuddin sah ke Penang FC! Selamat mengharungi cabaran Liga Super Aqil!" tulisnya.
Perpindahan terbabit pasti akan membawa kelebihan buat kesemua pihak dengan pemain tersebut mampu meraih pengalaman berkualiti setelah terlalu lama diletakkan dalam skuad simpanan.
BACA LAGI: Kembali ke padang latihan Terengganu beri 'hint' orang kuat Kedah akan ke Pantai Timur
Skuad Harimau Kumbang memerlukan seorang bek tengah tempatan berkualiti. — Facebook/Penang FC
Bagi Terengganu FC pula, penghijrahannya mampu menyaksikan lebih ramai ubi muda dapat digilap pasukan kendalian Hairuddin Omar itu yang sememangnya terkenal dengan kebolehan mencungkil bakat.
Penang FC juga berpeluang meningkatkan keampuhan benteng pertahanan mereka kerana Aqil cukup dikenali dengan kualiti dalam posisinya setelah beraksi cemerlang musim lalu.
Selain Aqil, beberapa nama lain dikatakan akan meninggalkan Terengganu FC pada jendela perpindahan kali ini, termasuk Arif Fadzilah dan Faiz Nasir yang dikaitkan dengan Kuching City FC.
Namun, dengan jendela perpindahan hanya akan ditutup pada penghujung April, kelab Pantai Timur terbabit masih mempunyai tempoh untuk menentukan struktur skuad bagi saingan akan datang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram