Cuma semusim di Kedah, Hidalgo bakal 'u-turn' semula ke Pantai Timur?


  • Podium
  • Isnin, 19 Feb 2024

Hidalgo sedia bawa diri kembali ke Sri Pahang FC. — Facebook/Kedah Darul Aman FC

PERSIAPAN beberapa kelab di Liga Super masih lagi dilihat perlahan berbanding pasukan-pasukan utama seperti Selangor FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT).

Beberapa kelab seperti Kedah Darul Aman FC dan Kuala Lumpur City FC dilihat tidak begitu aktif dalam melakukan persiapan pra-musim kali ini. Berkemungkinan, permasalahan tunggakan gaji yang menimpa mereka membuatkan dua kelab tersebut tidak begitu sakan berbelanja.

Malah, Kedah sebenarnya dikaitkan dengan perpindahan keluar pemain handalan mereka iaitu Manuel Hidalgo.

Hidalgo yang merupakan pemain sayap kanan dari Argentina itu dikatakan mahu meninggalkan Kedah selepas masalah kewangan yang melanda Sang Kenari ketika ini.

Pemain sayap berusia 24 tahun itu dilaporkan akan terus kekal di Liga Super dengan Hidalgo dijangka melakukan pusingan-u menuju ke Pantai Timur.

BACA LAGI: ‘Ajok Saha boh’, ada cadangan mahu legenda Terengganu sertai Hai-O di TFC II

2328184

Hidalgo mencatatkan 10 bantuan gol untuk Kedah pada musim lalu. — Agensi

BACA LAGI: Disebut-sebut akan ke seteru Pantai Timur, ramai desak Messi Malaysia terus kekal di Terengganu

Hidalgo dilaporkan bersedia untuk kembali ke Sri Pahang FC untuk musim baharu dengan dia bersedia untuk terus menggegarkan Liga Super di bawah kendalian Fandi Ahmad.

Namun begitu, tidak dapat dipastikan sama ada perpindahan tersebut adalah berbentuk tetap atau pinjaman.

Jika Hidalgo berjaya diikat oleh Sri Pahang, mereka akan berhasil untuk menguatkan barisan serangan kerana kreativiti dan kelincahannya begitu menyukarkan pihak lawan.

Hidalgo dianggap sebagai pemain import yang cukup berkualiti dengan impaknya sebagai pemain sayap berjaya membuatkan pertahanan lawan kucar-kacir dengan kehadirannya.

Semasa di Sri Pahang, Hidalgo begitu cemerlang membantu skuad Tok Gajah apabila berjaya memperoleh sembilan jaringan serta 14 bantuan gol dalam 35 penampilan.

Bersama Kedah, Hidalgo mencatatkan empat jaringan serta 10 bantuan gol dalam 27 perlawanan. Ini termasuklah hatrik bantuan gol yang dihasilkan olehnya ketika Kedah seri menentang JDT dalam Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram