HASRAT besar diletakkan penyokong bola sepak tanah air untuk menyaksikan pemain pertahanan Harimau Malaya, Dion Cools beraksi dalam Liga Super pada tahun-tahun mendatang.
Bek tengah yang cukup dikenali dengan reputasi tenang sepanjang permainan boleh dikatakan sebagai pemain terbaik dalam posisi pertahanan ketika ini.
Di samping itu, kehadirannya dianggap penting dalam membantu skuad kebangsaan layak ke Piala Asia awal tahun 2024 meskipun persembahan negara dalam pertandingan berkenaan kurang memberangsangkan.
Prestasi dan reputasinya terbabit sudah cukup untuk membuatkan sebahagian besar penyokong mahu menyaksikannya beraksi dalam saingan bola sepak tanah air.
Namun, hal itu tidaklah mudah untuk direalisasikan memandangkan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang cukup ternama di pentas Asia juga tidak dapat membawa khidmatnya ke dalam negara.
BACA LAGI: TMJ yakinkan saya untuk beraksi buat Harimau Malaya — Dion Cools
Dion Cools (kiri) kelihatan gembira selepas menjaringkan gol pertamanya buat Buriram United. — Facebook/Buriram United
Tetapi, usaha mereka dalam mendapatkannya masih belum menemui titik noktah apabila laporan mengatakan kelab berkenaan masih berminat untuk menandatanganinya pada jendela perpindahan kali ini.
Meskipun perlu mengeluarkan kos tinggi untuk menampung gajinya yang tinggi, masalah terbabit tidak akan melunturkan semangat skuad Harimau Selatan yang sudah bertahun-tahun memburu bek tengah berkenaan.
Bagaimanapun, harapan JDT untuk membawa masuk Dion Cools boleh dikatakan semakin rumit selepas pemain terbabit mencetak nama sebagai penjaring gol dalam aksi liga Thailand buat Buriram United baru-baru ini.
Dalam aksi berdepan Trat FC pada Ahad, bek tengah berusia 27 tahun itu menampan hantaran rakan sepasukan pada minit keempat permainan untuk meletakkan mereka di hadapan.
Gol berkenaan merupakan jaringan pertamanya dalam saingan divisyen teratas di negara itu selepas menyertai mereka tahun lalu dari kelab Republik Czech, FK Jablonec.
Sumbangannya tersebut membantu pasukannya mencatatkan kemenangan 4-3 yang meletakkan Buriram United di persada liga Thailand selepas 18 perlawanan.
BACA LAGI: Dion Cools belum mahu ke Liga M, tunggu peluang ke Jepun dan Korea
JDT dan Selangor FC dikatakan destinasi terbaik buat Dion Cools dalam Liga Super.
Sepanjang beraksi di Thailand, pemain berdarah kacukan itu mencipta pelbagai momen manis dalam kariernya, termasuk meraih gelaran 'treble' domestik pada 2023.
Selain JDT, pasukan tempatan lain yang pernah dikaitkan dengan Dion Cools ialah Selangor FC kerana kedua-dua pasukan terbabit mempunyai struktur kewangan kukuh untuk mendapatkannya.
Kedua-dua pasukan itu juga pastinya enggan melepaskan peluang mendapatkan khidmat bek tengah berkenaan kerana mereka bakal beraksi di pentas Asia musim depan.
Bagaimanapun, skuad Harimau Selatan dilihat destinasi lebih sesuai buat pemain berkenaan melihat kepada kejayaan mereka baik di atas padang mahupun di luar padang.
Namun, dengan dia sudah semakin menyesuaikan diri bersama skuad Thunder Castle, peluang untuknya mewarnai Liga Super pada tahun-tahun mendatang berkemungkinan semakin tipis. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram