DALAM merealisasikan misi menampilkan aksi lebih baik dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elit musim depan, Johor Darul Ta'zim (JDT) terus membuat pelaburan dengan mengumumkan beberapa pemain baharu.
Setakat ini, juara Liga Super 10 kali berturut-turut itu sudah membawa masuk tiga import baharu, iaitu Jalil Elias, Francisco Geraldes serta Nicolao Dumitru.
Berdasarkan karier masing-masing, mereka boleh dikatakan sebagai rekrut cukup bijak buat skuad Harimau Selatan yang terus dahaga saban musim.
Namun, pengumuman ketiga-tiga pemain itu masih belum dapat mengatasi keterujaan apabila pasukan Selatan tanah air itu menyatakan mereka akan mengekalkan khidmat penyerang sayap Argentina, Fernando Forestieri.
Pemain yang sudah beraksi untuk dua musim buat JDT itu sebelum ini mengumumkan tidak akan dikekalkan meskipun berjaya menjaringkan 19 gol dalam Liga Super.
BACA LAGI: Dua pemain 'hilang' muncul di JDT
Bagaimanapun, dalam satu hantaran rasmi baru-baru ini, pemain berusia 34 tahun berkenaan disahkan akan terus bersama skuad Harimau Selatan untuk saingan akan datang.
Pengumuman yang dibuat menerusi video berdurasi 41 saat terbabit mencuri perhatian dengan tema klip tersebut dibuat berdasarkan atlet gusti terkenal, Undertaker yang cukup terkenal.
Tetapi, di sebalik itu, beberapa pengguna media sosial mendapati JDT seperti dengan sengaja cuba memberikan bayangan mengenai pemain baharu pasukan.
Pada saat ke-23 video terbabit, kelihatan pengendali pasukan, Hector Bidoglio memetik suis lampu dengan kelihatan pengawal suhu pendingin hawa berdekatan.
Namun, apa yang menarik adalah skrin berkenaan memaparkan tulisan 'Cool' dengan suhu setinggi 21 darjah Celcius yang seakan-akan mengenai no jersi pertahanan skuad kebangsaan, Dion Cools.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Saya kasihan untuk Johor', ayat K. Devan tidak mungkin berulang lagi di era JDT
Tangkap layar daripada video pendek mengenai pengumuman Forestieri baru-baru ini.
Pemain yang sudah beberapa musim dikaitkan dengan JDT itu sebelum ini mengumumkan bahawa dia masih belum tertarik untuk menyertai Liga Super kerana lebih cenderung untuk meneruskan kariernya di Jepun atau Korea Selatan.
Hasrat terbabit boleh dikatakan cukup relevan buatnya yang boleh dikatakan sebagai antara bek tengah terbaik di rantau Asia Tenggara seperti mana dibuktikannya di peringkat kelab bersama Buriram United.
Di samping itu, kualitinya juga dipamerkan setiap kali bek tengah terbabit menyarung jersi Harimau Malaya apabila kehadirannya cukup penting beberapa tahun kebelakangan ini.
Bagaimanapun, berdasarkan klip dan klu yang cuba diberikan JDT itu, tidak mustahil sekiranya mereka sanggup membuat tawaran berbaloi untuk mendapatkan khidmatnya dalam jendela perpindahan kali ini.
Setakat ini, skuad Harimau Selatan dilaporkan bakal menerima dua lagi pemain seperti mana didedahkan pemilik kelab, Tunku Mahkota Johor menerusi satu komen di laman Instagram peribadinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram