KETIKA ini, pemain pertahanan tengah, Dion Cools boleh dianggap sebagai bintang Harimau Malaya kerana kehadirannya cukup penting dalam mengawal pintu gawang negara.
Pengalamannya beraksi di Eropah, termasuk dalam Liga Juara-Juara UEFA (UCL) meningkatkan mutu permainannya apabila dia kelihatan sungguh tenang ketika ditekan pihak lawan.
Di samping itu, pemain berusia 27 tahun terbabit juga cukup hebat di hadapan pintu gol lawan dengan dua jaringannya ketika berdepan Kyrgyzstan penghujung tahun lalu.
Bagaimanapun, hasrat peminat bola sepak tanah air untuk melihatnya beraksi buat Harimau Malaya hampir tidak kesampaian satu ketika dahulu apabila dia sukar memutuskan negara yang sepatutnya diwakilinya.
BACA LAGI: Sebelum dikawal Dion Cools, penyerang EPL dalam radar Liverpool
Dion Cools (tengah) mempunyai ancaman tersendiri di hadapan pintu gol lawan. — Facebook/FAM
Dion Cools yang pernah beraksi buat skuad belia Belgium pastinya lebih tertarik untuk menunggu peluangnya bersama negara Eropah itu yang mempunyai reputasi cukup hebat.
Sekiranya hendak dibandingkan dengan Harimau Malaya, pasukan yang tidak berada dalam kelompok 100 pasukan teratas dalam ranking FIFA pastinya sukar untuk mendapatkan bek tengah kelahiran Kuching, Sarawak itu.
Namun, dalam satu pendedahan pemain Buriram United berkenaan baru-baru ini, dia mengatakan pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Mahkota Johor merupakan individu penting di sebalik pemilihannya itu.
"Satu hari, saya terima satu panggilan telefon daripadanya yang mengatakan dia sedang berusaha menaikkan semula skuad kebangsaan kerana mereka ketika itu berada di keadaan cukup mengecewakan.
BACA LAGI: Dion Cools yakin kelebihan Brendan Gan, Faisal Halim sekat ancaman pemain tinggi lampai Jordan
TMJ merupakan watak penting dalam membawa Dion Cools ke dalam skuad kebangsaan.
"Ia bukanlah satu keputusan yang sukar untuk saya ambil kerana saya juga mempunyai perasaan untuk bermain buat Harimau Malaya. Saya cukup tertarik dengan penjelasannya dan ketika itulah saya membuat pilihan," katanya seperti mana dilaporkan FIFA.
Dion Cools mencipta debut bersama skuad kebangsaan dalam aksi menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) ketika kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di tempat lawan.
Sejak itu, dia sudah merekodkan 23 penampilan buat Harimau Malaya, termasuk dua daripadanya ketika aksi Piala Asia 2023 menentang Jordan dan Bahrain.
Bek tengah tersebut sebelum ini sudah berkali-kali dikaitkan dengan perpindahan ke JDT, namun dia memilih untuk menyertai Buriram United dalam misinya menambah lebih banyak koleksi kejayaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram