MESKIPUN jendela perpindahan Liga Malaysia sudah dibuka untuk dua minggu, beberapa pasukan masih belum mengumumkan kehadiran sebarang pemain baharu.
Antara yang masih boleh dikatakan cukup pasif ialah Sri Pahang FC meskipun sudah menyatakan senarai mereka yang tidak lagi akan beraksi buat kelab berkenaan musim depan.
Kelewatan terbabit sekali gus menyebabkan majoriti penyokong kurang berpuas hati dengan kesukaran pihak pengurusan melakukan aktiviti perpindahan berdasarkan bajet pasukan.
Bagaimanapun, ramai daripada mereka masih optimis dengan masa depan skuad Tok Gajah berdasarkan khabar angin mengenai rekrut baharu mereka untuk saingan akan datang.
BACA LAGI: Pahang pilih dasar pandang ke Utara cuba selesaikan isu pertahanan longgar
Sean hanya pernah beraksi bersama Selangor FC dan skuad Jang sepanjang kariernya. — Instagram/Sean Selvaraj
Salah seorang pemain yang dikaitkan dengan pasukan Pantai Timur itu ialah pemain sayap Negeri Sembilan FC, Sean Selvaraj dengan reputasinya cukup baik dalam kalangan peminat bola sepak tanah air.
Meskipun catatan jaringannya tidak terlalu membanggakan, gaya permainannya mengangkat namanya sebagai antara yang terbaik dalam posisi itu dalam Liga Super.
Namun, seorang pemain baharu di posisi sayap boleh dikatakan sesuatu yang penting buat Sri Pahang FC dengan Baqiuddin Shamsudin, Syazwan Andik dan Azrif Nasrulhaq boleh diturunkan berdasarkan taktikal Fandi Ahmad.
Jadi, hal itu pasti menimbulkan persoalan mengenai perancangan pihak pengurusan kerana beberapa posisi lain perlu diisi segera, terutamanya penjaga gol dan bek tengah.
Bagaimanapun, berdasarkan pemerhatian Majoriti, terdapat tiga sebab mengapakah skuad Tok Gajah bersungguh-sungguh mahu membawa masuk Sean ke pasukan mereka pada jendela perpindahan kali ini.
1. Gaya permainan
Seperti dinyatakan di atas, terdapat beberapa pilihan dimiliki Fandi sebagai ketua jurulatih untuk diletakkan sebagai pemain sayap Sri Pahang FC ketika ini.
Bagaimanapun, melihat kepada skuad semasa Tok Gajah, tiada dalam kalangan mereka mempunyai kelincahan diperlukan untuk memberi ancaman terhadap benteng pertahanan lawan.
Kehadiran Sean, yang juga dikenali sebagai Seanaldo dalam kalangan penyokong skuad Jang mampu membawa perubahan terhadap isu penting dalam Sri Pahang FC musim depan.
BACA LAGI: Lupakan tawaran ke Jakarta, Sergio Aguero sign 2 tahun kontrak Sri Pahang demi projek gergasi
Sekiranya pemain terbabit mampu digandingkan dengan penyerang berbisa, seperti Kpah Sherman, dia pasti akan membawa skuad Tok Gajah ke tahap lebih tinggi.
Tetapi, masih terdapat beberapa kekangan yang akan memberi kesan terhadap gaya permainan Sean jika bakatnya tidak digunakan sebaiknya pihak kejurulatihan Sri Pahang FC.
Bekas pemain skuad simpanan Selangor itu dilihat lebih sesuai sekiranya tidak diturunkan sebagai pemain sayap bertahan yang memerlukannya untuk menutup peluang lawan dengan kerap.
Namun, jika Fandi melihat Sean masih perlu dimainkan dengan peranan sebegitu, terdapat kemungkinan sumbangannya buat jentera serangan skuad Tok Gajah akan terkesan.
2. Pengalaman pelbagai
Salah satu aspek penting dalam menentukan kejayaan seorang pemain dalam saingan Liga Super hari ini adalah pengalamannya beraksi dalam pertandingan itu sepanjang kariernya.
Di samping mampu mengawal tekanan di atas padang, pendedahan dalam pertandingan sebegitu akan membolehkan mereka lebih tahu dan cakna akan kemampuan masing-masing.
Sean dilihat tidak berdepan isu terbabit kerana dia yang sudah bertahun-tahun mewarnai arena bola sepak tanah air sudah meraih lebih daripada 60 penampilan dalam Liga Super.
Sean pernah diberikan peluang dalam skuad muda kebangsaan beberapa tahun lalu. — Instagram/Sean Selvaraj
Aspek itu sememangnya cukup penting untuk diberi perhatian Fandi serta Sri Pahang FC memandangkan pemain sayap tersebut tidak akan berdepan isu kesukaran menyesuaikan diri.
Pengalaman Sean bersama skuad kebangsaan juga tidak boleh dipertikaikan kerana pemain terbabit pernah diberikan peluang bersinar dalam skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara.
Antara penampilannya bersama Harimau Muda adalah ketika dia dipanggil ke kem latihan dikendalikan Datuk Ong Kim Swee di Jiangsu, China pada 2018.
Rekod-rekod itu pastinya menjadi satu sebab buat Sri Pahang berusaha mendapatkan khidmatnya dalam misi mereka terus diangkat sebagai antara pasukan tempatan terbaik ketika ini.
3. Usia dan pelan jangka masa panjang
Jika dilihat skuad Tok Gajah musim lalu, hampir keseluruhan daripada pemain sudah berusia lebih daripada 30 tahun, termasuk separuh daripada mereka yang sering tampil dalam kesebelasan utama pasukan.
Meskipun ia sesuai dengan perancangan serta taktikal Fandi, terdapat kemungkinan besar prestasi masing-masing akan merosot pada tahun-tahun mendatang.
Sekiranya isu tersebut berlaku, Sri Pahang FC pasti berdepan kesukaran untuk kekal bersaing kerana tiada seseorang yang mampu meneruskan legasi pasukan.
Syazwan Andik tidak akan dapat beraksi di tahap tertinggi buat beberapa tahun lagi. — Facebook/Sri Pahang FC
Oleh itu, kemasukan Sean ke dalam pasukan pada jendela perpindahan kali ini mampu mengelakkan masalah tersebut memberi impak terhadap barisan serangan skuad Tok Gajah.
Walaupun sudah berusia 27 tahun, anak kelahiran Port Dickson, Negeri Sembilan itu masih boleh dianggap lebih muda berbanding Syazwan Andik dan Azrif yang seakan-akan menghampiri penghujung karier masing-masing.
Sekiranya Fandi dapat memberi perhatian penuh terhadap Sean musim depan, ia akan memberi kelebihan buat pasukan kerana mereka tidak perlu gusar untuk mendapatkan pelapis dari luar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram