[VIDEO] Faktor 'price tag' mungkin kekangan 3 free agent termasuk Brendan Gan masih belum dimiliki


  • Podium
  • Jumaat, 16 Feb 2024

Faktor usia mungkin jadi halangan untuk kelab lain mendapatkan khidmat Brenda musim baharu ini. — Facebook/SelangorFC

SETAKAT jendela perpindahan yang sedang berlangsung, penyokong dihidangkan dengan bermacam-macam drama seperti perebutan bintang warisan, penghijrahan pemain dari kelab gergasi luar negara dan ada juga pengguguran tonggak berharga.

Situasi menyaksikan ada pemain penting yang tiba-tiba memutuskan untuk keluar daripada pasukan merupakan salah satu momen ditunggu-tunggu kelab lain kerana ia adalah masa sesuai untuk mendapatkan khidmat tonggak berkenaan.

Namun, bukan semua pemain menerima nasib sama untuk menjadi bintang rebutan kelab lain kerana terdapat beberapa faktor yang boleh menghalang pasukan daripada turut serta berbaris bagi merekrut mereka.

Kekangan kewangan dan faktor umur berkemungkinan antara faktor yang menyaksikan ada segelintir pemain kekal bergelar ejen bebas dek sehingga kini walaupun mereka bergelar sebagai pemain bertaraf bintang.

Bagaimanapun, demi karier masing-masing, mereka pasti terbuka untuk menyertai mana-mana pasukan yang boleh menawarkan gaji lumayan serta pasukan cukup baik untuk berentap di pentas domestik.

Kali ini Majoriti menyenaraikan tiga pemain bergelar ejen bebas yang boleh dipertimbangkan semula oleh kelab Liga Super untuk mendapatkan khidmat mereka pada jendela perpindahan ini;

BACA LAGI: Winger NSFC mahu bawa haluan baharu ke Pantai Timur

1) Brendan Gan

Bekas ketua pasukan Selangor, Brendan Gan difahamkan masih tidak mempunyai sebarang kelab sehingga kini walaupun keputusannya meninggalkan Selangor memberi kejutan kepada penyokong bola sepak tanah air.

Pada awalnya, pemain berusia 35 tahun berkenaan dikhabarkan menarik minat Sabah FC, Sri Pahang dan juga kelab di saingan Australia League namun sehingga kini tiada sebarang pengumuman rasmi berhubung tawaran berkenaan.

Usianya yang kian lanjut berkemungkinan menghalang kelab-kelab berkenaan untuk mendapatkan Brendan dengan pemain warisan Australia-Malaysia itu sudah tidak lagi dilihat sebagai aset jangka masa panjang pasukan.

Bukan itu sahaja, sejarah kecederaan Brendan yang pernah terpalit dengan kecederaan ligamen krusiat anterior atau koyakan ACL sebanyak dua kali juga pasti membuat mereka terfikir-fikir untuk menandatanganinya.

Brendan yang sudah berhasil mengotakan janji untuk membawa Gergasi Selangor ke Asia itu bagaimanapun adalah calon pemain tengah sesuai untuk disambar kerana pengalamannya di beberapa kelab Liga Malaysia dan skuad kebangsaan.

2) Herold Mark Goulon

Pertahanan kental kelahiran Perancis, Herold Mark Goulon juga masih belum dimiliki mana-mana pasukan selepas Negeri Sembilan FC (NSFC) memutuskan untuk tidak menggunakan khidmatnya bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) 2024/2025.

Kecemerlangan Goulan dalam mengetuai benteng pertahan pasukan sudah mula menyerlah sejak pemain berusia 35 tahun berkenaan bergelar sebagai pemain Pahang dengan dia pernah membantu Tok Gajah menghuni kedudukan kedua pada saingan Liga Super 2019.

Selain cemerlang bertugas sebagai bek tengah, Goulan juga boleh dilabel sebagai pemain yang versatil kerana mampu turun ke depan untuk membantu bahagian serangan dengan mencetak gol.

Ia terbukti apabila bekas pemain skuad Perancis Bawah 21 tahun itu pernah dinobat sebagai penjaring terbanyak skuad Tok Gajah bagi saingan Liga Super 2019 dengan merekodkan lapan gol pada tahun pertamanya di tanah air.

Seperti Brendan, Goulan juga terpalit dengan masalah kecederaan apabila dia sering disisihkan dari perlawanan penting sehingga akhirnya mengganggu prestasi pasukan dalam saigan liga.

BACA LAGI: Dengarnya 2 bekas bintang EPL tunggu masa 'kemas beg' ke Malaysia bulan depan

3) Ifedayo Olusegun

Dulu jadi rebutan banyak kelab Liga Super namun kini bekas pemenang Anugerah Kasut Emas Liga Super 2021, Ifedayo Olusegun masih berstatus ejen bebas dengan tiada khabar angin mana-mana pasukan ingin mendapatkan khidmatnya.

Sejak kemunculannya kembali menyertai Liga Malaysia bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC, Ifedayo seakan-akan tidak menemui potensi sebenarnya kerana dia dilihat agak bergelut untuk mendapatkan momentum.

Pemain berusia 33 tahun berkenaan tiba di Darul Aman pada jendela perpindahan Julai lepas namun menerima kritikan hebat dari penyokong Hijau kerana hanya mencatatkan 12 gol dalam 11 perlawanan liga.

Penyerang Bahrain itu dianggap terlalu banyak melepaskan peluang untuk menjaringkan gol sehingga ada penyokong yang menyalahkan Ifedayo sebagai salah satu punca KDA FC tidak berhasil ke pentas Asia.

Faktor gaji yang agak mahal dan boleh membebankan kantung kewangan pasukan difahamkan Ifedayo masih tidak menarik minat mana-mana pasukan Liga Super untuk menandatanganinya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram