Lupakan tawaran ke Jakarta, Sergio Aguero sign 2 tahun kontrak Sri Pahang demi projek gergasi


  • Podium
  • Khamis, 08 Feb 2024

Aguero diberi kepercayaan untuk kekal menyarung lilitan kapten pada musim baharu ini. — Facebook/SriPahang

PEMAIN naturalisasi Malaysia, Sergio Aguero tidak mempunyai masalah untuk membuat keputusan meneruskan perkhidmatan bersama Sri Pahang FC bagi kekal membantu memperkasakan bahagian tengah mereka.

Arkitek kelahiran Argentina itu difahamkan sudah sepakat menandatangani perjanjian dua tahun dengan skuad Tok Gajah dan dijangka kekal menjadi ketua pasukan untuk musim 2024-2025.

Pemain berusia 29 tahun itu berkongsi perasaan gembiranya apabila menceritakan bahawa Sri Pahang tampil memberitahunya dia akan kekal bersama kelab berpangkalan di Pantai Timur berkenaan.

"Ia bukanlah satu keputusan yang sukar kerana saya kini menggelar Pahang sebagai rumah saya. Saya menghargai apa yang telah dilakukan oleh kelab selama tiga tahun ini dan merekalah yang membantu saya melalui proses naturalisasi.

"Mereka sentiasa melihat saya sebagai keutamaan dalam pasukan," kata Aguero selepas menandatangani perjanjian dengan syarikat pakaian dan kasut Indonesia OrtusEight baru-baru ini.

Musim lepas, kecoh apabila Aguero dikatakan akan meninggalkan Sri Pahang selepas dikhabarkan menerima tawaran lumayan daripada kelab Liga 1 Indonesia, Persija Jakarta bagi menguatkan pasukan tersebut.

BACA LAGI: Fans Tok Gajah persoal kekalkan 'injury prone' Aguero, patut beri peluang buat ubi muda

aguero 2

Aguero mula menyertai Sri Pahang pada musim 2022. — Facebook/SriPahang

BACA LAGI: Sri Pahang buat kira-kira bawa masuk 5 pemain termasuk bintang Itali isi 3 posisi 'crucial'

Selain Aguero, kelab kendalian Fandi Ahmad itu juga mengesahkan bahawa beberapa pemain utama akan kekal untuk dua tahun akan datang bersama Sri Pahang.

Pemain berkenaan ialah bek kiri Syazwan Andik dan Azwan Aripin, penjaga gol Zarif Irfan Hashimuddin, bek kanan Azrif Nasrulhaq, pemain tengah Saiful Jamaluddin dan Nasrullah Zaki dan pemain sayap Syaahir Saiful Nizam.

Sri Pahang difahamkan dalam misi untuk memulakan projek dua tahun untuk bermain dengan baik dalam liga dan diharapkan memenangi mana-mana pertandingan piala domestik yang bakal berlangsung.

“Pemain utama dikekalkan kerana kami bermain dengan baik musim lalu. Kami mahu berjuang untuk liga dan piala. Itu projek Sri Pahang. Kami berharap tonggak sedia ada dan pemain baharu boleh mencapai sasaran berkenaan.

"Saya gembira dengan prestasi saya tahun lalu tetapi tidak gembira dengan kecederaan yang saya alami. Saya harap saya dapat membantu pasukan melakukan lebih baik daripada tahun lalu.

"Sasaran untuk 2024-2025 adalah untuk membantu pasukan menamatkan saingan di tempat terbaik dalam liga. Saya harap kami dapat menghasilkan sesuatu untuk peminat dan pengurusan," katanya.

Untuk rekod, Aguero menjaringkan lima gol dan memberikan lima hantaran bantuan dalam 19 perlawanan domestik tahun lalu. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram