SETAKAT ini, Sri Pahang FC merupakan antara pasukan Liga Super yang masih belum memulakan sesi latihan bagi mempersiapkan diri untuk saingan musim depan.
Pasukan yang tahun lalu menamatkan saingan divisyen teratas bola sepak tanah air di kedudukan kelima itu dikhabarkan bakal kembali melaporkan diri selewat-lewatnya pada minggu ketiga Februari.
Keputusan tersebut pasti menimbulkan keraguan dalam kalangan penyokong yang gusar sekiranya cuti terlalu panjang akan memberi kesan terhadap kecergasan pemain.
Bagaimanapun, sesetengah daripada tonggak skuad Tok Gajah mengambil inisiatif tersendiri dengan melibatkan diri dalam aktiviti yang dapat mengekalkan mereka di tahap terbaik.
Antara yang berbuat demikian ialah kapten musim lalu, Sergio Aguero berdasarkan hantaran di media sosial peribadinya memaparkan pemain naturalisasi itu melibatkan diri dalam gaya hidup aktif.
BACA LAGI: [VIDEO] Lan Pet Pet sertai sambutan hari lahir RMS, sempat pamer skil bunyi 'trumpet'
Aguero merupakan tonggak utama skuad Tok Gajah sejak beberapa musim lalu.
Meskipun terpaksa melupakan sebahagian besar musim lalu akibat kecederaan, isu berkenaan tidak menghalangnya untuk meluangkan masa dengan sukan dan aktiviti yang dapat membantunya kekal cergas.
Melihat kepada beberapa hantarannya, pemain kelahiran Argentina tersebut sering menghabiskan masanya dengan bermain padel yang seakan-akan sukan tenis bersama rakan dan ahli keluarganya.
Namun, baru-baru ini, Aguero seakan-akan sudah menemui lawan baharu dalam permainan berkenaan apabila didapati berdepan Raja Muda Selangor (RMS) Tunku Amir Shah dalam hantaran di Instastory peribadinya.
"What a game, padel day," tulis tonggak Sri Pahang FC itu sambil menyertakan sekeping foto memaparkannya di samping pemilik Selangor FC tersebut bersama dua individu lain yang tidak dikenali.
Walaupun tidak menyertakan sebarang perkhabaran lain mengenai pertemuan mereka, ia sedikit sebanyak memberi bayangan bahawa masing-masing saling bertukar idea.
Antara yang mungkin dibincangkan adalah sekiranya Aguero tertarik untuk menyertai skuad Gergasi Merah musim depan dalam misi mereka memperkuatkan bahagian tengah pasukan.
BACA LAGI: Dr Johan anggap 2023 tahun terbaik Selangor bawah pimpinan RMS
Tangkap layar daripada hantaran Aguero (dua dari kanan) baru-baru ini.
Meskipun pemain itu sudah menandatangani kontrak lanjutan dua tahun bersama Sri Pahang FC, kualiti dimilikinya mampu membuatkan Selangor FC sanggup membayar pampasan untuk mendapatkan khidmatnya.
Selain itu, status naturalisasi Aguero membolehkannya menyertai pasukan kendalian Tan Cheng Hoe berkenaan tanpa memberi kesan terhadap kuota import mereka.
Bagaimanapun, melihat kepada hubungannya bersama kelab Pantai Timur itu, skuad Gergasi Merah pasti berdepan kesukaran untuk membuat tawaran terhadapnya pada jendela perpindahan kali ini.
Kehadiran pemain tengah baharu, Nooa Laine turut merumitkan khabar angin terbabit dengan kemasukannya akan membuatkan minit permainan salah seorang daripada mereka kian terhad.
Untuk rekod, jeneral tengah berusia 29 tahun berkenaan merekodkan lima gol dan lima bantuan jaringan dalam 14 penampilannya buat skuad Tok Gajah dalam saingan Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram