Siap jumpa Fandi tepi pantai, import baharu Ukraine selangkah sertai skuad Tok Gajah?


  • Podium
  • Jumaat, 16 Feb 2024

Fandi Ahmad pasti mahu menaikkan lagi kualiti pemain dalam skuad Tok Gajah sebelum saingan musim depan berlangsung. — Facebook/Sri Pahang FC

MEMASUKI jendela perpindahan bagi saingan Liga Super 2024/25, Sri Pahang FC dilihat masih berdiam diri apabila belum membuat sebarang pengumuman mengenai kehadiran rekrut baharu mereka.

Walaupun sudah melepaskan sebahagian besar pemain daripada skuad mereka Disember lalu, pihak pengurusan pastinya tidak mahu terburu-buru dalam melakukan perancangan bagi saingan akan datang.

Selain mahu memastikan wajah-wajah baharu mampu menyesuaikan diri dengan taktikal pasukan, mereka juga perlu memastikan rekrut akan datang berada di tahap kecergasan terbaik.

Jadi, tidak hairanlah apabila masih tiada pemain yang menyertai skuad Tok Gajah meskipun beberapa nama dikaitkan dengan mereka sejak beberapa minggu lalu.

Bekas kapten Selangor FC, Brendan Gan dan tonggak Terengganu FC beberapa tahun lalu, Habib Haroon merupakan antara nama yang dikatakan bakal menyertai jersi pasukan Pantai Timur berkenaan musim depan.

BACA LAGI: Fandi Ahmad gesa MFL keluarkan jadual musim 2024 lebih awal

2070944

Brendan Gan disebut-sebut bakal menyertai skuad Tok Gajah tidak lama lagi. — Facebook/Selangor FC

Tidak cukup dengan itu, terdapat ura-ura mengatakan skuad kendalian Fandi Ahmad akan diperkuatkan penyerang kelahiran Ukraine seperti mana dilaporkan seorang sumber dalam agensi media tempatan baru-baru ini.

Kehadirannya dijangka akan mengurangkan beban dipikul kapten pasukan, Kpah Sherman yang muncul sebagai penjaring terbanyak kelab dalam saingan Liga Super dengan 12 gol.

Meskipun masih memiliki Rafael Silva yang boleh diletakkan dalam posisi itu, kemasukan seorang peledak baharu akan memperkuatkan lagi jentera serangan pasukan.

Bagaimanapun, sehingga kini, masih tiada laporan rasmi mengatakan skuad Tok Gajah bakal membawa masuk seseorang dari Eropah bagi musim depan.

Namun, baru-baru ini, terdapat perkembangan baharu bahawa Sri Pahang FC berada dalam perancangan mendapatkan seorang penyerang baharu tidak lama lagi.

BACA LAGI: Kembali ke padang latihan Terengganu beri 'hint' orang kuat Kedah akan ke Pantai Timur

WhatsApp Image 2024-02-16 at 08.39.33

Fandi (tengah) kelihatan sedang berbincang bersama seorang individu tidak dikenali.

Dalam satu foto tular di media sosial, Fandi yang merupakan pengendali pasukan kelihatan sedang berbincang dengan individu tidak dikenali di tepi pantai sambil menikmati hidangan ringan.

Berdasarkan pemerhatian awal, lelaki berkenaan mempunyai susuk tubuh seakan-akan seorang pemain bola sepak dari Eropah dengan dia ditemani seorang wanita dipercayai pasangannya.

Meskipun terdapat usaha penyokong untuk mengetahui identitinya, kekurangan info daripada sekeping gambar itu menyukarkan ramai membuat telahan lebih.

Tetapi, jika skuad Tok Gajah mampu menarik perhatian seorang pemain dari Ukraine, ia pasti akan menjadi satu penambahan cukup menarik dalam saingan Liga Super.

Sebelum ini, Sri Pahang FC pernah menggunakan khidmat import dari negara berkenaan, Yevhen Bokhashvili yang hanya beraksi buat separuh musim pada 2021. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram