DERITA dialami oleh pemain Liga Malaysia akibat culasnya pihak kelab dalam membayar gaji memang tidak dapat ditanggung peritnya.
Bukan satu atau dua kelab yang mengalaminya, tetapi hampir kesemua pasukan dalam Liga Malaysia terpalit dalam isu ini tidak kira mereka adalah nama besar atau tidak.
Malah, ada kelab yang sudah pun terhapus daripada kewujudan. Walaupun sudah tiada, tetapi hutang masih belum terlunas dan pemain masih menuntut keadilan.
Salah satunya adalah pemain Melaka United FC. Sejak pembubaran mereka pada akhir musim 2022, kelab tersebut tidak melunaskan gaji bekas pemain mereka.
BACA LAGI: Maaf Pawi atau Akhyar, No 7 tetap milik Ivan Mahmut
TMJ (dua dari kiri) merupakan penaung PFAM. — Agensi
BACA LAGI: Fans Kedah jangan gusar, wakil penyokong kongsi 3 perkembangan semasa Hijau Kuning
Salah satu mangsanya adalah bekas pemain kebangsaan iaitu Norshahrul Idlan Talaha. Pemain Harini FT itu sebelum ini pernah mendesak pengurusan Melaka United untuk menyelesaikan masalah gaji dialami mereka.
Kini, pemain yang mesra disapa sebagai Mat Yo itu meminta Penaung Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk membantu mereka.
Di laman Instagramnya, Norshahrul mengatakan dia berharap TMJ boleh hadir membantu menyelesaikan kemelut yang sudah lama tidak diselesaikan.
"Saya masih menunggu perkhabaran daripada Tunk untuk mengadap. Terlalu lama masa Melaka United tidak melunaskan gaji.
"Tunku selaku penaung PFAM berharap dapat mendengar dan membantu akan masalah kami. Saya juga bekas Pemain JDT dan pemain kebangsaan di bawah naungan Tunku harap sangat Tunku dapat membantu," kata Norshahrul dalam siarannya di Instagram.
Selain daripada Norshahrul yang lantang menyuarakan isu gajinya dengan skuad Hang Jebat, bekas pemain Selangor FC dan juga JDT iaitu Norazlan Razali turut merupakan mangsa kepada culasnya pengurusan Melaka United.
Antara pemain lain yang turut mengalami masalah adalah duo bekas pemain Kelantan FC iaitu Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Syahrul Azwari serta Fahdil Idris.
Mereka juga perlu tampil bersama-sama Norshahrul untuk memastikan usaha mendapatkan hak yang begitu lama dinafikan berjaya diperoleh semula.
Para pemain seharusnya bersama Norshahrul turun mengadap TMJ bagi memastikan kemelut bersama-sama Melaka United dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin.
Untuk makluman, Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) kini bersedia untuk mendapatkan slot ke Liga Super 2024/2025 menerusi penyertaan Melaka FC.
Namun begitu, mereka tidak menyebut sebarang perkembangan untuk menyelesaikan isu gaji melibatkan bekas pemain Melaka United. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram