PENYOKONG Kedah Darul Aman (KDA) FC musim ini hanya mampu melihat kerancakan jendela perpindahan pasukan lain dengan kelab seperti Johor Darul Takzim (JDT), Terengganu FC (TFC) dan Selangor FC antara yang aktif mengumumkan ketibaan pemain baharu.
Masalah gaji yang menimpa pasukan Utara tanah air itu dilihat sebagai kekangan besar untuk skuad Hijau Kuning melakukan perkara sama seperti lain dan semakin lama ia hanya membimbangkan penyokong Kedah.
Selepas sekian lama berdiam diri, wakil penyokong KDA FC, Kedahan Green Yellow di laman Facebook tampil membawa cerita positif yang mendedahkan bahawa pihak pengurusan dalam diam sudah mempunyai persiapan sendiri dan bakal membawa khabar gembira untuk pemain ke-12 skuad Sang Kenari.
"Pasal ramai yang dah tanya. Apa persiapan KDA FC untuk 2024. Kenapa senyap tak macam pasukan lain. Ini yang aku dapat tahulah. Kalau tak betul, aku minta maaf pagi-pagi Jumaat ini. Ceritanya Kedah dah buat persiapan dah ada, penaja dah ada, senarai pemain tempatan dan import dah ada.
"Benda ini semua dah disusun dan dirancang awal lagi. Masa pertengahan musim aku rasa dah ada dah segala perancangan ini," kata penyokong berkenaan yang turut optimis bahawa Kedah tidak mungkin akan diturunkan pangkat ke saingan Liga M3.
Berdasarkan perkembangan dari wakil penyokong Kedah itu, Majoriti cuba merungkaikan persiapan yang dijangka sudah dilaksanakan Kedah bagi saingan Liga Malaysia musim ini:
BACA LAGI: [VIDEO] Dah ada pilihan lain, 3 sebab kenapa Tok Gajah masih kejar Seanaldo
1) Persiapan kelab
Aksi Santos menentang Kedah tidak diadakan seperti yang diuar-uarkan. — Facebook/KDAFC
Menurut penyokong berkenaan, Kedah sudah melakukan persiapan untuk saingan musim ini sejak pertengahan tahun lalu dari segi rekaan kit 2024/2025 sehingga ke perancangan sesi pra musim sebelum liga bermula.
"Rekaan jersi pun dengar dah ada. Apa-apa pun semua ini bergantung pada keputusan kelab. Benda ini semua dah disusun dan dirancang awal lagi. Masa pertengahan musim aku rasa dah ada dah segala perancangan ini," katanya.
Perkara berkenaan ada betulnya untuk mengatakan bahawa Kedah sudah merancang persiapan sejak musim lepas selepas baru-baru ini heboh mengenai perlawanan persahabatan menentang kelab Brazil, Santos tetapi ia tidak diadakan seperti dirancang.
Menurut pengendali Kedah, Nafuzi Zain, perbincangan menentang kelab Brazil itu berkemungkinan dibuat pada musim lalu namun masalah kewangan berpotensi jadi batu penghalang perlawanan itu diadakan.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Shahrul Samsudin turut akui bahawa pihaknya ada menerima cadangan dari pihak pengantara atau promoter sekitar awal tahun ini berkaitan aksi persahabatan itu namun tidak menyatakan sebarang persetujuan.
2) Penaja
Musim lepas KDA FC mendapat tajaan antarabangsa daripada Bin Zayed International. — Facebook/KDAFC
Laman penyokong tersebut juga mendedahkan bahawa KDA FC juga sudah menemui pihak yang berpotensi untuk menjadi penaja Kedah sepanjang saingan musim 2024/2025, sekali gus dapat membantu mengukuhkan kewangan kelab.
Perkembangan mengenai bakal penaja Hijau Kuning adalah sejajar dengan makluman yang sebelum ini pernah dikongsikan bekas Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali pada awal Januari ini kepada Majoriti.
"Penajaan dah ada untuk musim 2024 tapi belum finalised lagi perkara itu. Tapi yang berminat dah ada," katanya.
Musim lepas, pemilik Kedah Darul Aman (Kedah), Tan Sri Dr. Daud Bin Bakar menafikan masalah tunggakan gaji yang berlaku dalam pasukan tersebut kerana penaja utama mereka, Bin Zayed sudah tidak lagi menjalinkan kerjasama.
Namun, sehingga kini isu penaja menarik diri tersebut masih kekal menjadi tanda tanya dalam kalangan penyokong berikutan tunggakan gaji musim 2023 yang didakwa tertunggak selama empat bulan masih belum diselesaikan.
3) Senarai pemain
Sehingga kini, Kedah masih belum mengumumkan ketibaan pemain baharu. — Facebook/KDFC
BACA LAGI: Hype lain macam tengok Akhyar dan Safawi, TFC bakal raih 3 ‘durian runtuh’
Bukan itu sahaja, wakil penyokong tersebut juga berkongsi khabar gembira yang ditunggu-tunggu pemain ke-12 iaitu barisan kejurulatihan dan pihak pengurusan sudah mempunyai senarai pemain bakal menyarung jersi KDA FC.
Seperti sebelum ini, Khamal Idris juga mengesahkan sudah mempunyai senarai pemain impian yang bakal dibawa ke kem Kedah pada musim depan namun sehingga kini wajah baharu tersebut masih belum boleh dikongsikan.
"Pemain baharu dah ada cuma kita tak boleh nak reveal. Sebab tak sign lagi cuma persetujuan dah ada. Apabila bagi petunjuk akan jadi perebutan kelab lain pula," jelasnya.
Musim ini, Kedah dikaitkan dengan pelbagai nama besar seperti bekas tonggak Terengganu FC (TFC) Sony Norde dan Habib Haroon. Selain difahamkan turut mencari pengganti penyerang Ifedayo Olesogun yang difahamkan tidak lagi disambung kontrak lanjutan bersama KDA FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram