MENJARINGKAN gol menghadirkan satu kepuasan buat mana-mana pemain. Tidak kira sama ada ia adalah rembatan jarak jauh, tandukan bebas mahu pun sekadar tolakan mudah ke pintu gol, ia pasti memuaskan.
Kepuasan akan jelas terpancar apabila satu-satu pemain menghasilkan gol daripada sepakan percuma. Kepuasan menewaskan benteng pertahanan serta penjaga gol dari jarak jauh begitu mengujakan.
Lebih-lebih lagi sekiranya ia dihasilkan dengan teknik knuckle-ball. Ia adalah sejenis teknik di mana bola akan 'terbang' ke arah pintu gol dengan lencongan yang agak janggal sebelum mendarat betul-betul di depan gol.
Malah, ada masanya ia akan melantun betul-betul di depan penjaga gol dengan tujuan akan menyukarkan bola dapat ditepis keluar.
Teknik ini sinonim dengan legenda Portugal, Cristiano Ronaldo dan cara sepakan tersebut turut dipakai oleh Faiz Subri ketika memenangi Anugerah Puskas FIFA pada 2016.
Di India, seorang pemain telah mencipta kejutan apabila menjaringkan gol menggunakan teknik tersebut sebanyak dua kali dalam satu perlawanan.
Menerusi video yang tular di X (Twitter), pemain Jamshedpur FC, Jeremy Manzorro menghasilkan dua gol hasil daripada sepakan percuma ketika pasukannya menang 0-4 menentang Punjab FC di tempat lawan.
BACA LAGI: Status bintang JDT bukan jaminan barisi kesebelasan utama Sang Penyu
BACA LAGI: 'Hint' 3 bendera Akmal Rizal, ramai cuba nasib jawab teka-teki siapa selain Rafael Vitor
Apa yang menariknya, dua jaringan tersebut terhasil dalam jarak tiga minit sahaja. Selain itu, jarak dan kedudukan bola juga berada pada posisi yang hampir serupa.
Jaringan pertama pada minit ke-83 terhasil dari jarak 25 meter di sebelah kanan pintu gol Punjab FC. Manakala gol kedua terhasil tiga minit kemudiannya di posisi serupa tetapi dari jarak yang lebih jauh iaitu 30 meter.
Dua gol daripada Manzorro itu membantu kelabnya untuk menduduki tangga keenam Indian Super League dengan mereka kini mengutip 17 mata daripada 16 perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram