Terkena badi bertemu Malaysia, Klinsmann dan jurulatih Bahrain dipecat


  • Podium
  • Jumaat, 16 Feb 2024

Klinsmann (kiri) dipecat sebagai pengendali Korea Selatan. — Agensi

IMPAK Malaysia dalam Piala Asia 2023 mungkin tidaklah sebesar mana kerana kita tersingkir awal apabila gagal melepasi peringkat kumpulan.

Namun begitu, impak kecil yang diberikan Harimau Malaya sebenarnya telah memberikan kesan berpanjangan buat dua pasukan yang bersaing bersama kita dalam kumpulan E.

Hal ini kerana, dua pengendali lawan Malaysia di peringkat kumpulan telah pun dilepaskan oleh persatuan bola sepak masing-masing kerana gagal menepati sasaran di Piala Asia.

Pengendali Bahrain, Juan Antonio Pizzi dipecat daripada mengendalikan skuad negara tersebut walaupun berjaya layak ke pusingan kalah mati.

Bahrain tidak berjaya untuk mara jauh dalam Piala Asia walaupun melepasi peringkat kumpulan serta menewaskan Malaysia 1-0 pada aksi kedua.

BACA LAGI: Kembali ke padang latihan Terengganu beri 'hint' orang kuat Kedah akan ke Pantai Timur

qna_albahrains

Pizzi dipecat selepas hanya mampu sampai ke pusingan 16 pasukan terakhir bersama Bahrain. — Agensi

Perjalanan Bahrain hanya sampai di peringkat 16 pasukan terbaik apabila mereka ditumbangkan oleh Jepun 1-3. Kekalahan tersebut membuatkan Pizzi ditunjukkan jalan keluar sebagai pengendali negara itu.

Satu lagi nama adalah pengendali Korea Selatan, Jurgen Klinsmann yang akhirnya dipecat selepas hanya berkhidmat untuk negara tersebut selama 12 bulan.

Kemuncak kemarahan penyokong Korea Selatan terhadap Klinsmann berlaku apabila skuad kendaliannya hanya mampu seri 3-3 bertemu Malaysia dengan wajahnya tersenyum saat Romel Morales menyamakan kedudukan pada minit-minit akhir permainan.

Korea kemudiannya berjaya mara ke separuh akhir tetapi kecundang kepada Jordan. Kekalahan tersebut menambah kemarau Korea Selatan untuk memenangi Piala Asia selepas hampir 70 tahun tidak berjaya melakukannya.

BACA LAGI: Bek kiri KL City jadi rebutan kelab Utara tanah air, ex Penang FC turut puji kebolehan Nabil Hakim

klinsmann-jurgen-speaker

Senyuman Klinsmann amat tidak senangi warga Korea Selatan. — Agensi

Ditambah pula dengan kisah dalaman yang terbocor mengenai pergaduhan antara Son Heung-min dengan Lee Kang-in sebelum perlawanan bertemu Bahrain, memberikan petanda keharmonian pasukan tidak begitu baik ketika era Klinsmann.

Hanya pengendali Jordan, Hussein Ammouta yang masih dikekalkan. Berkemungkinan, persembahan cemerlangnya berjaya bawa Jordan sampai ke perlawanan akhir memainkan peranan kenapa khidmatnya masih diteruskan.

Sementara bagi pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon, kepimpinannya masih dipertahan untuk membawa Malaysia ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram