Status bintang JDT bukan jaminan barisi kesebelasan utama Sang Penyu


  • Podium
  • Jumaat, 16 Feb 2024

Safawi (tengah) merupakan rekrut baharu Terengganu musim ini. — Facebook/Terengganu FC

TERENGGANU FC telah mula melakukan persiapan bagi mendapatkan skuad yang cemerlang bagi musim baharu.

Beberapa pemain baharu telah dibawa masuk dengan kehadiran mereka dilihat sebagai rekrut berstatus bintang seperti Akhyar Rashid, Safawi Rasid, Matthew Steenvoorden, Akram Mahinan dan Ismaheel Akinade.

Kehadiran mereka telah menimbulkan keterujaan para penyokong Terengganu dan mereka berharap barisan pemain baharu skuad Penyu akan diturunkan sebagai kesebelasan utama kelak.

Akan tetapi, ia bukanlah satu perkara yang boleh dijamin oleh jurulatih kelab iaitu Tomislav Steinbruckner.

Pengendali dari Croatia itu berkata yang dia tidak boleh menjamin tempat dalam kesebelasan utama buat mana-mana pemain walaupun mereka mempunyai status bintang.

BACA LAGI: Arif Aiman bersaing dengan bintang PSG, wonderkid Jepun rebut gelaran Future Stars Asia

428150905_382975984443842_5608553828724143597_n

Akhyar (tengah) antara bintang baharu Terengganu musim ini. — Facebook/Terengganu FC

BACA LAGI: Tonggak Tok Gajah luang masa bersama RMS, bakal buka lembaran baharu musim depan?

Tambah Steinbruckner lagi, dia amat mengharapkan pemain seperti Safawi dan Akhyar akan memberikan persembahan terbaik sepanjang berada di Terengganu sebagai pinjaman dari Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Saya mengharap banyak daripada mereka, mereka bagaimanapun perlu membuktikan kemampuan di atas padang.

"Safawi seorang pemain yang bijak, dia tahu apa yang saya mahukan dan dia perlu membuktikan dirinya berhak dalam kesebelasan utama," kata Steinbruckner menerusi laman Stadium Astro.

Apa yang merisaukan Steinbruckner adalah mengenai tahap ketajaman Safawi dan Akhyar yang mempunyai minit yang kurang pada musim lalu.

Oleh itu, dia perlu menilai dahulu persembahan dua pemain tersebut sebelum membuat keputusan sama ada mereka boleh menempah tempat dalam kesebelasan utama Terengganu atau tidak.

"Mereka berdepan kurang minit permainan musim lalu, saya berharap mereka akan memberikan yang terbaik dan membuktikan mampu untuk berada dalam kesebelasan utama.

"(Persiapan) ini merupakan sesuatu yang positif, dan saya berharap persiapan pasukan berjalan lancar bagi memastikan musim kami mampu menghasilkan keputusan positif," kata Steinbruckner. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram