Bakal tiba sebagai ‘big signing’, Perak hampir dapatkan wira Sukan SEA 2017


  • Podium
  • Jumaat, 16 Feb 2024

Haziq Nadzli merupakan penjaga gol utama Malaysia di Sukan SEA 2017

TUMPUAN persiapan untuk musim baharu Liga Malaysia mungkin tertumpu kepada Johor Darul Ta'zim (JDT), Selangor FC dan Terengganu FC.

Mana tidaknya, ketiga-tiga kelab tersebut membawa masuk pelbagai nama-nama besar yang bakal menggegarkan saingan musim ini.

Tetapi, Perak FC turut tidak ketinggalan dalam usaha menguatkan kelab walaupun mereka melakukan perpindahan pemain dengan menggunakan bajet yang sederhana.

Walaupun tidak terlalu mewah dalam berbelanja, tetapi skuad kendalian Yusri Che Lah itu tetap mahu menguatkan skuad sedia ada terutamanya di bahagian penjaga gol.

Dengan penjaga gol yang sedia ada seperti T. Shaheeswaran dan Farhan Majid, Yusri berpendapat Perak masih perlu menguatkan posisi tersebut supaya pertahanan dilihat lebih mantap.

BACA LAGI: Duo beradik, bintang malap skuad Lembah Klang dalam radar Tok Gajah

41504080008_bola

Haziq (tengah) melakukan kesilapan ketika perlawanan akhir Sukan SEA 2017. — Agensi

Oleh disebabkan itu, Perak dikatakan dalam proses untuk membawa masuk pemain baharu dengan sasaran mereka terletak kepada bekas penjaga gol skuad kebangsaan.

Perak dikhabarkan begitu hampir untuk mendapatkan penjaga gol JDT, Haziq Nadzli yang dijangka akan menyertai mereka secara pinjaman.

BACA LAGI: Kembali ke padang latihan Terengganu beri 'hint' orang kuat Kedah akan ke Pantai Timur

Haziq merupakan penjaga gol utama untuk skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee sewaktu Malaysia berjaya layak ke perlawanan akhir acara bola sepak Sukan SEA 2017 yang diadakan di Kuala Lumpur. Ketika itu, Malaysia memperoleh pingat perak selepas kalah kepada Thailand.

Ketibaan Haziq dijangka akan menjadi salah satu antara rekrut penting Perak musim ini dengan kelab itu akan melakukan pengumuman selepas majlis pelancaran jersi yang dijadualkan pada 17 Februari.

Penjaga gol tersebut kini berusia 26 tahun dan sudah bersama JDT untuk satu tempoh yang lama. Akan tetapi, Haziq masih belum berjaya mendapatkan jersi nombor satu kelab tersebut yang sebelum ini dikuasai oleh Farizal Marlias dan sekarang Syihan Hazmi.

Perpindahan pinjaman ke Perak boleh menajamkan semula permainannya menerusi jumlah minit yang mencukupi. Ia ibarat situasi menang-menang apabila Perak dapat kuatkan benteng pertahanan sambil Haziq memperoleh minit permainan dimahukannya.

Jika perpindahan itu berlaku, Haziq bakal menjadi seperti Safawi Rasid dan Akhyar Rashid yang dipinjam keluar oleh JDT ke kelab lain dengan duo tersebut menyertai Terengganu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram