SEJAK diperkenalkan pada 2021, permainan video berasakan bola sepak, eFootball menjadi salah satu pilihan utama bagi peminat sukan itu dalam negara.
Meskipun ramai masih berpendapat EA Sports FC 24 lebih jauh hebat dari segi grafik dan gaya permainan, kemudahan orang ramai untuk mengakses eFootball membuatkannya kini semakin dikenali dalam negara.
Tidak cukup dengan itu, inisiatif kerajaan untuk memperkenalkan Liga e-Sports Malaysia (MEL) menyaksikan permainan keluaran Jepun berkenaan dipertandingkan, sekali gus mengangkat reputasinya.
Landskap positif berkenaan pastinya memberi platform bagi mengasah bakat-bakat baharu yang sekali gus mampu melahirkan lebih ramai atlet dalam permainan itu.
BACA LAGI: Tak patah semangat, Nathanael anggap naib juara eFootball MEL2023 pencapaian bermakna
Syamsheer terlibat secara aktif dalam sukan itu sejak beberapa tahun lalu. — Instagram/syamshrr
Bagaimanapun, bagi penggiat dalam eFootball, Syamsheer Hussain, masih terdapat pelbagai usaha diperlukan untuk merealisasikan misi mengembangkan bilangan pemain kompetitif dalam permainan terbabit.
"Ya, memang banyak peminat baharu untuk game eFootball, tetapi itu tidak bermaksud boleh naikkan tahap kompetitif permainan ini dalam negara.
"Negara kita perlukan liga atau pertandingan dengan lebih kerap untuk kita naikkan lagi tahap persaingan antara pemain eFootball," katanya kepada Majoriti.
Syamsheer yang merupakan atlet e-sports kelahiran Negeri Sembilan memulakan kariernya sebagai pemain eFootball Mobile empat tahun lalu dengan beberapa pencapaian berjaya diraihnya.
BACA LAGI: Bekas pemain no 1 dunia optimis, kad epik Safee Sali hangatkan sketsa eFootball
Syamsheer juga pernah menyertai MEL eFootball yang diadakan tahun lalu. — Instagram/brosesport.my
Antara kemuncak tertinggi pernah dicapainya sepanjang bergiat aktif adalah beberapa kemenangan dalam pertandingan termasuk ditawarkan tempat untuk bersaing dalam Liga eFootball Indonesia (IFeL).
Jadi, tidak hairanlah untuk orang ramai mengangkatnya sebagai salah seorang contoh terbaik dalam permainan itu, lebih-lebih lagi dengan dia kini mewakili Bro ESports MY.
Tambahnya lagi, insentif serta kerjasama juga diperlukan bagi membolehkan pihaknya mengembangkan lagi permainan video itu ke tahap lebih tinggi.
"Sebagai pemain, kami perlukan pihak-pihak tertentu untuk bantu kami kembangkan eFootball ini. Dari situ, pasti akan ada penaja atau mana-mana pihak yang nampak potensinya dan berminat untuk mengembangkan lagi eFootball dalam negara," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram