Bekas pemain no 1 dunia optimis, kad epik Safee Sali hangatkan sketsa eFootball


  • eSports
  • Sabtu, 13 Jan 2024

Safee Sali menjadi pemain negara pertama diberikan kad epik dalam permainan eFootball. — Konami

PERMAINAN video online, eFootball membawa kegembiraan buat peminat bola sepak tanah air apabila melancarkan Kad Versi Epik khas buat bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali.

Dalam majlis pelancaran yang diadakan di ibu negara pada Khamis, bekas pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu jelas kelihatan teruja dengan penghargaan yang diberikan terhadapnya.

Pengumuman berkenaan menyaksikan Safee menjadi pemain negara pertama menerima kad terbabit yang pastinya akan menarik lebih ramai peminat bola sepak untuk memuat turun permainan keluaran Konami itu.

Hal tersebut turut diakui bekas pemain eFootball nombor satu dunia, Nor Haikal Mohd Noh yang juga teruja dengan inisiatif jenama terbabit dalam mengangkat nama penyerang berkenaan.

"Apabila ramai yang mengidolakan Safee dan dia juga ada dalam permainan yang dimainkan, itu menjadi satu kebanggaan buat pemain eFootball di luar sana.

"Jadi, saya mengharapkan ada lagi pemain negara yang boleh dapatkan kad epik. Kalau anda nak tahu, kad ini adalah sangat berharga dalam permainan ini kerana kita perlu membelanjakan wang sehingga ratusan ringgit," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Umpan atau tidak, Harimau Malaya jangan terganggu pengaruh luar — Safee Sali

366743255_815449536733872_3221035055668520165_n

Haikal berbangga dengan langkah Konami untuk mengukuhkan legasi Safee Sali dalam eFootball. Facebook/MySukan TV

Berdasarkan statistik dikeluarkan Konami, Safee mempunyai 'rating' mencecah 93 yang mengatasi pemain legenda ternama, seperti bekas pemain Itali, Filipo Inzaghi.

Jadi, penilaian berkenaan pastinya membuatkan lebih ramai pemain dari dalam mahupun luar negara untuk menggunakan penyerang tersebut dalam usaha mereka mendapatkan lebih banyak jaringan.

Tambah Haikal lagi, langkah memperkenalkan kad epik Safee akan menggalakkan lebih ramai untuk memuat turun eFootball apabila permainan video itu sedang bersaing rapat dengan EAFC 24 untuk menjadi yang paling terkenal dalam negara.

WhatsApp Image 2024-01-12 at 20.23.27

Haikal (kiri) bersama Safee ketika majlis pelancaran di ibu negara pada Khamis. Dagang News

"Insiatif ini merupakan titik permulaan untuk tarik lebih ramai peminat dalam negara kerana Safee mempunyai pengikut tersendiri. Jadi, apabila ramai yang tahu mengenainya, ia akan menarik pengguna di luar sana.

"eFootball juga bukan sahaja ada Safee Sali kerana mereka juga menyertakan pemain kebangsaan menjelang Piala Asia. Oleh itu, saya dapat jangka lebih ramai akan memainkannya," kata pemain JDT|GBX itu lagi.

Permainan video tersebut dapat dimainkan di telefon pintar dengan pengguna diberikan peluang beraksi menggunakan pasukan terhebat dalam liga-liga utama seluruh dunia, seperti Barcelona dan Manchester United.

Selain itu, orang ramai juga boleh menggunakan skuad kebangsaan dalam mod Piala Asia dengan pemain negara, seperti Arif Aiman Hanapi dan Faisal Halim turut tampil dalam permainan berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram