APABILA berbicara mengenai dunia e-sukan dalam landskap tanah air, pasti nama-nama sukan elektronik seperti PUBG Mobile, Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), Dota dan juga permainan video FIFA ataupun kini lebih dikenali sebagai EA Sports FC menjadi antara kegemaran komuniti.
Dari sekadar beraksi di kamar persendirian atas tujuan menghiburkan diri, kini ramai individu sudah mula bergelar pemain profesional dengan sukan elektronik juga semakin mempunyai reputasi tersendiri sehingga ia menjadi acara rasmi dalam temasya tahunan seperti Sukan Asia dan Sukan SEA.
Misalnya pada tahun ini, Malaysia antara negara yang memberi kepercayaan dan dorongan kepada pemain industri untuk mengambil bahagian dalam acara sukan elektronik bagi temasya besar seperti Sukan Asia dan Sukan SEA serta pertandingan lain yang bertaraf antarabangsa.
Menyambut baik kepercayaan dari pihak kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS), pemain profesional negara juga tidak melepaskan peluang untuk mengharumkan nama negara dengan memperoleh keputusan baik di kejohanan besar pada tahun ini.
Dengan 2023 bakal melabuhkan tirainya dalam beberapa jam sahaja lagi, tidak salah untuk Majoriti menyenaraikan beberapa detik gemilang yang dilakar oleh atlet e-sukan tanah air menerusi temasya sukan dan pertandingan bertaraf antarabangsa pada tahun ini.
1) JDT|GBX Esports ke FIFAe Club World Cup 2023
Barisan pemain serta pihak pengurusan JDT|GBX bagi saingan musim 2022/23. — Facebook/JDT
Pasukan EA Sports FC negara, JDT|GBX Esports menutup tirai musim 2022/23 dengan jayanya selepas berjaya melayakkan diri dalam kejohanan tertinggi FIFA iaitu FIFAe Club World Cup 2023 yang berlangsung di Riyadh, Arab Saudi pada Julai lepas.
Walaupun pemenang ePiala Malaysia 2022 itu tidak berkesempatan untuk terbang lebih tinggi di kejohanan berkenaan namun berada di tempat ke-17 pasukan terbaik dalam FIFAe Club World Cup 2023 dianggap sebagai pencapaian terbaik JDT|GBX Esports.
Untuk rekod, FIFAe Club World Cup 2023 adalah pengalaman kedua buat JDT|GBX Esports di pentas dunia apabila sebelum ini mereka turut menempah tiket ke edisi 2022 yang berlangsung di Copenhagen, Denmark.
Berkat usaha di saingan FIFAe Club World Cup 2023, JDT|GBX Esports berjaya menaikkan ranking pasukan mereka sehingga berada di kedudukan ketujuh dunia pada Julai lalu.
2) Dua wakil Malaysia ke Kejohanan Dunia M5 MLBB
Majlis Pelepasan pasukan Homebois dan Team SMG ke M5 MLBB 2023 untuk diadakan di Parlimen.
Seperti musim sebelum ini, Malaysia sekali lagi berkesempatan menghantar dua wakil iaitu Homebois dan Team SMG ke Kejohanan Dunia Siri Ke-5 (M5) Mobile Legends Bang Bang (MLBB) yang berlangsung di Manila, Filipina baru-baru ini.
Homebois berhasil membuat penampilan sulung di kejohanan dunia selepas mencipta sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya menjadi juara Liga Profesional MLBB Malaysia Musim 12 (MPL MY Musim 12).
Manakala, Team MSG yang menjadi naib juara MPL MY Musim 12 berjaya melayakkan diri ke M5 selepas menghuni tangga teratas Kejohanan MLBB M5 Wildcard 2023 pada November lepas.
Walaupun kedua-dua wakil tanah air itu terkandas di peringkat kumpulan namun ia adalah pencapaian memuaskan untuk Homebois dan Team SMG kerana memberikan saingan sengit kepada pasukan gergasi dari negara lain.
3) Malaysia juara keseluruhan GEG
Pasukan e-sukan Malaysia untuk Pertandingan GEG di Riyadh, Arab Saudi pada Disember lalu. — Facebook/Hannah Yeoh
Siapa sangka Malaysia mencuri perhatian komuniti e-sukan dunia apabila muncul juara keseluruhan di Pertandingan Esports Global ke-3 (GEG) di Riyadh, Arab Saudi pada Disember lalu.
Pencapaian penuh bersejarah itu dicapai apabila Grills Gaming memenangi pingat emas dalam acara Dota kategori wanita 2 selepas mereka cemerlang mengalahkan pasukan dari Thailand, Argentina, dan Peru.
Dua pingat perak Malaysia pula diperoleh menerusi kategori terbuka Dota 2 dan sukan Street Fighter 6. Sementara, acara E-Football pula tidak berhasil menyumbang sebarang pingat.
Detik gemilang Malaysia di persada dunia ini membuktikan bahawa pemain industri tanah air mampu membuka peluang buat pasukan negara memperoleh bermacam-macam lagi kejayaan dałam arena e-sukan.
4) Dua pingat di Sukan Asia
Skuad Malaysia ketika pertarungan final AoV untuk Sukan Asia. — Facebook/MSN
Skuad e-sukan negara mencipta sejarah tersendiri apabila menghadiahkan pingat perak buat Malaysia dalam penyertaan kali pertama mereka Sukan Asia Hangzhou.
Dalam pertarungan final Arena of Valor (AoV), skuad negara yang dibarisi Lai Chia Chien, Nicholas Ng, Eng Jun Hao, Yong Zhen Quang dan Chong Han Hui tewas kepada China dengan keputusan 0-2.
Manakala, pasukan Dota 2 negara yang terdiri daripada Chan Kok Hong, Cheng Jin Xiang, Thiay Jun Wen, Tue Soon Chuan, Yap Jian Wei dan Ng Wei Poong pula berjaya menyumbang gangsa selepas menewaskan Kyrgyzstan 2-0.
Pencapaian kem e-sukan tanah air membuktikan masa depan cerah menanti Malaysia untuk acara tersebut dan mungkin akan menjadi lubuk emas kontinjen kebangsaan kelak.
5) Empat pingat di Sukan Sea Kemboja
Malaysia berjaya meraih pingat perak pertama dalam e-sukan pada Sukan SEA menerusi acara berpasukan campuran AK2. — Bernama
Pasukan e-sukan Malaysia tampil garang ketika Sukan SEA ke-32 di Kemboja apabila menyumbang empat pingat dalam acara MLBB, PUBG dan Mission Against Terror 2.
Meskipun pertama kali menghantar pasukan wanita bagi e-sukan MLBB namun ia tidak menjadi penghalang buat mereka mengharumkan nama negara dengan memenangi pingat gangsa di Sukan SEA pada Mei lalu.
Skuad MLBB lelaki pula membawa pulang perak di temasya tersebut selepas kecundang dalam pusingan akhir menentang kuasa besar e-sukan berkenaan, Filipina dengan keputusan 0-3.
Satu lagi pingat Perak negara dari kem e-sukan Malaysia disumbangkan menerusi acara berpasukan campuran Attack Online 2 (AK2) iaitu permainan video first person shooter untuk peranti mudah alih dan komputer peribadi (PC).
Akhir sekali, pasukan Malaysia 1 yang berakhir di kedudukan tempat ke-4 tidak terlepas peluang untuk menghadiahkan pingat gangsa untuk negara dalam kategori berkumpulan selepas tiga hari berjuang dalam acara PUBG Mobile. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram