IMPIAN seorang kanak-kanak lelaki yang dikenali sebagai adik Irfan untuk berjumpa dua idolanya dalam dunia e-sukan sempat ditunaikan sebelum meninggal dunia disebabkan penyakit tuberculosis (Tibi) pada Khamis.
Irfan yang menghidap penyakit selama lebih lima tahun itu difahamkan menyimpan hasrat untuk berjumpa dua individu berpengaruh e-sukan Mobile Legends Bang Bang (MLBB) iaitu Soloz dan Daddyhood.
Berkat usaha dari Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Esports Integrated (ESI), kanak-kanak lelaki berhasil untuk berjumpa dengan Soloz dan Daddyhood apabila kedua-dua mereka melawatnya di rumah budak lelaki itu.
Beberapa jam sebelum kanak-kanak lelaki itu menghembuskan nafas terakhir pada Khamis, Irfan meluangkan masa berborak dengan Muhammad Faris Zakaria (Soloz) dan Nureddy Nursal (Daddyhood).
BACA LAGI: Homebois lupakan kepahitan M5, semangat JDT iringi perjalanan musim 2024
Tangkap layar Menteri KBS, Hannah Yeoh memaklumkan mengenai keadaan Irfan.
Berkongsi detik terakhir bersama Irfan, Daddyhood menceritakan kedatangan mereka sedikit sebanyak memberi senyuman kepada budak lelaki berkenaan selepas setelah senyuman manisnya dirampas oleh penyakit berjangkit berkenaan.
"Irfan dia dah sakit lama dan doktor yang jaga dia tu beritahu bahawa dah biasa berhadapan dengan pesakit tiada harapan. Jadi, doktor memang tanyalah apa permintaan terakhir. Irfan nak jumpa saya dan Soloz.
"Keadaan dia memang terbaring, apa yang saya dapat tahu tibi Irfan dah sampai ke perut. Bukan lagi di bahagian paru-paru. Jadi memang susahlah nak rawatan, dia cuma baring dan kurang bercakap.
"Mukanya seronok bila jumpa kami. Masa kami tanya, dia jawab dan kenal kami melalui streaming. Dia ada mood bercakap dengan kami. Adik Irfan ada merch (merchandise) Homebois. Dia bukan penyokong biasa, dia penyokong Homebois yang special. Cuma umurnya tak panjang," katanya kepada Majoriti.
Memetik laporan dari WTM Today di laman Facebook, adik Irfan terlantar di hospital selama dua bulan dan menurut ibunya, momen berjumpa dua individu itu adalah kali pertama dia tersenyum.
Pengasas pasukan e-sukan terkenal tanah air Homebois itu menceritakan bahawa adik Irfan sememangnya banyak meluangkan masa bermain MLBB sejak pemergian arwah ayahnya dan sejak itu dia mengenali Soloz dan Daddyhood.
"Masa sihat dia memang main ML (Mobile Legend). Saya difahamkan lepas arwah ayah dia meninggal, dia banyak menyendiri dengan main game. Sebab dia rapat dengan arwah ayah. Masa sihat dia memang main dan layan stream saya dengan Soloz.
"Masa jumpa saya dah rasa sedih sebab saya pernah berhadapan dengan ahli keluarga terdekat dengan situasi sebegitu. Mak cik saya meninggal sebab tibi, jadi saya tahu kondisi dia. Masa tahu meninggal itu memang terkejut dan sugul saya rasa," kongsinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram