USAHA untuk menghangatkan lagi sambutan e-sports dalam golongan belia hari ini semakin menggalakkan apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut mengambil inisiatif tersendiri.
Ia dapat disaksikan apabila mereka menganjurkan Liga E-Sports Malaysia (MEL) yang membariskan beberapa permainan dalam talian, termasuk eFootball, Valorant dan Mobile Legend Bang Bang (MLBB).
Antara yang pastinya mencuri tumpuan ialah eFootball dengan sukan berkonsepkan bola sepak itu semakin mendapat perhatian dalam kalangan pengguna seluruh negara.
Selain memberi peluang buat pemain profesional, penganjuran MEL 2023 turut menyaksikan pemain amatur mempamerkan bakat masing-masing di platform lebih meluas.
Pemain dari Johor, Nathanael Anak Janting (Nathan) merupakan antara yang mengambil peluang keemasan tersebut dengan dia kini masih bergelar seorang penuntut universiti.
Nathanael (kiri) merupakan antara pesaing termuda dalam saingan eFootball MEL2023.
Dia yang menamatkan saingan eFootball MEL 2023 di kedudukan naib johan menganggap ia merupakan satu pengalaman berharga buatnya dalam dunia e-sports.
"Perasaan saya pada mulanya sedih kerana hanya selangkah lagi untuk bergelar juara, akan tetapi penentuan penalti akhirnya menjadi penghalang.
"Tak perlu saya memikirkan perkara itu terlalu lama kerana penentuan penalti lebih mendorong kepada menunjukkan nasib anda baik atau tidak," katanya kepada Majoriti.
Jelas Nathanael, pencapaiannya tersebut masih boleh dianggap cukup membanggakan memandangkan ia merupakan kedudukan akhir terbaik sepanjang bergiat dalam sukan eFootball.
Bagaimanapun, kegagalan untuk muncul juara itu tidak mematikan cita-citanya untuk meraih lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.
Nathanael (tengah) membawa pulang wang tunai bernilai RM7,000 selepas muncul sebagai naib juara.
Dalam perlawanan akhir, wakil dari Johor berkenaan tumpas kepada pemain dari Pahang, Azrudin Yaacob (AZRDN7XGAMING) dalam pertembungan yang disaksikan ramai di Spacerubix, Puchong, Selangor pada 15 Oktober lalu.
Tetapi, Nathanael tidaklah begitu kecewa dengan kekalahan di perlawanan akhir apabila dia dipilih sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) kejohanan.
"Pencapaian saya ini juga membuka mata kedua-dua ibu bapa saya untuk terus menyokong dan kawan-kawan saya juga tidak menyangka akan pencapaian saya.
"Saya juga bangga dengan diri saya kerana sepanjang kejohanan tersebut, gaya permainan saya berjaya mendominasi pihak lawan sehingga saya mendapat jaringan gol tertinggi," katanya lagi.
Ketika ini, Nathanael merupakan seorang penuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak dalam jurusan Diploma Pengurusan Hartanah.
Ibu bapa Nathanael turut hadir bagi memberi sokongan kepada anaknya dalam pertandingan itu.
Meskipun sibuk dengan kuliah, ia tidak menghalang pemain berusia 20 tahun tersebut untuk membahagikan masa belajar dan waktu latihan.
"Sebagai pelajar, ia agak mudah untuk saya membahagikan masa kerana jadual kuliah tidaklah begitu padat dan saya hanya perlu hadir ke kelas empat hari seminggu.
"Saya mempunyai masa yang cukup sepanjang tiga hari cuti untuk meluangkan masa bermain tanpa melupakan pembelajaran saya. Tambahan pula, bermain eFootball tidak memakan masa yang lama seperti permainan lain," katanya.
Nathanael turut menegaskan bahawa dia tidak bermain dengan terlalu mendesak sehingga menyebabkannya ketinggalan dari segi pembelajaran dan waktu persendirian.
Pendekatan sebegitu memberikan anak kelahiran Sarawak itu ruang buat diri sendiri selain masa terlalu lama untuk eFootball akan membuatnya bosan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram