SEJARAH tercipta buat bola sepak negara apabila kita mempunyai pengadil pertama yang mempunyai kelayakan dalam menguruskan sistem Video Assistant Referee (VAR) iaitu Nazmi Nasaruddin.
Pengadil berstatus FIFA itu turut menjadi salah seorang pegawai perlawanan di Piala Asia 2023. Hasil daripada kecemerlangannya di Qatar, Nazmi dipilih menjadi menjadi salah seorang daripada calon pengadil Piala Dunia 2026 yang bakal diadakan dekat Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
Berpotensi untuk menjadi pengadil utama pertama Malaysia beraksi di Piala Dunia, Nazmi perlu tampil cemerlang dalam kursus World Cup Candidate 2026 di Qatar yang akan diadakan pada 25 hingga 29 Februari kelak.
Bercakap kepada Majoriti, bekas pengadil FIFA, Subkhiddin Mohd Salleh mengatakan ada tiga perkara yang perlu Nazmi lakukan supaya namanya terpilih menjadi pegawai perlawanan Piala Dunia 2026:
1. Ulang kaji corak pengadilan Piala Dunia
Satu perkara yang perlu Nazmi lakukan untuk tampil cemerlang pada kursus tersebut adalah dengan mengulang kaji bagaimana pengadil-pengadil Piala Dunia terdahulu mengendalikan perlawanan.
Subkhiddin berkata, Nazmi harus merujuk semula corak pengadilan ketika Piala Dunia 2014, Piala Dunia 2018 dan Piala Dunia 2022 dan cuba membina satu karektor pengadil yang terbilang daripada situ.
Katanya, Nazmi perlu mempelajari daripada pengadil-pengadil yang bertugas bermula dari pusingan suku akhir, separuh akhir dan perlawanan akhir kerana ketika itu pegawai perlawanan yang dipilih adalah yang terbaik dalam kalangan terbaik.
"Waktu ini Nazmi perlu mencipta satu perwatakan seorang pengadil yang teguh. Bila mengawal perlawanan, mungkin orang akan pertikai keputusan kita, tetapi biar kita dapat kawal perlawanan dengan baik.
"Apabila perwatakan itu jelas, pengadil itu akan mudah difahami gaya kerjanya oleh banyak pihak seperti pemain, penyiar dan penyokong," kata Subkhiddin.
BACA LAGI: Sunyi tanpa berita, ada yang risau persiapan 'sendu' Kedah, bimbang ditinggal kelab lain
Nazmi menjadi pengadil Malaysia pertama menguruskan sistem VAR. — Facebook/FAM
2. Mesti menonjol, bukan berlagak
Menurut Subkhiddin, ketika kursus tersebut para calon akan mengharungi pelbagai aktiviti seperti kelas teori, perbincangan serta latihan amali.
Ketika itu, Nazmi perlu menonjolkan dirinya sambil menyerlahkan nilai-nilainya sebagai pegawai perlawanan serta individu. Kata Subkhiddin, Nazmi dan calon-calon lain akan dinilai sepanjang masa apabila di sana.
"Nazmi perlu tonjolkan bakatnya, tapi jangan sampai berlagak. Maksudnya, apabila terdapat perbincangan, dia harus tampil memberikan idea dan bukan angguk saja.
"Penilaian akan dibuat sepanjang masa dan bukan waktu aktiviti semata-mata. Nazmi akan dinilai bagaimana dia mengendalikan rakan-rakannya daripada negara lain bukan saja di kelas tetapi ketika makan, melakukan aktiviti dan sebagainya," ujarnya.
BACA LAGI: Bagi 'hint' sarung jersi no.4, Matthew Steenvoorden sah 'dipeluk' Sang Penyu
Subkhiddin (dua dari kiri) sewaktu bertugas pada Piala Dunia 2010. — Agensi
3. Fizikal mesti dijaga
Sepanjang seminggu berada di Qatar kelak, Nazmi akan berdepan dengan pelbagai ujian. Sebagai contoh, Nazmi akan berdepan dengan ujian teori, kecergasan serta perbincangan mengenai pelbagai situasi-situasi kontroversi dalam bola sepak.
Oleh itu, Subkhiddin mengingatkan Nazmi untuk menjaga tahap fizikal dengan memastikan ia berada pada tahap terbaik supaya berjaya memikat hati para penilai.
Bagi bekas pegawai perlawanan Piala Dunia 2010 itu, Nazmi perlu memperoleh markah cemerlang untuk membolehkan namanya dipilih daripada kursus tersebut.
Katanya, kursus tersebut merupakan langkah pertama untuk Nazmi bergelar pengadil Piala Dunia. Selepas berjaya melepasinya, Nazmi mempunyai peluang membuktikan kemampuannya dalam kejohanan anjuran FIFA.
Sebagai contoh, calon-calon pengadil Piala Dunia akan diberikan tugas mengadili kejohanan seperti Piala Dunia B-17, Piala Dunia B-20, Sukan Olimpik serta Piala Dunia Kelab FIFA.
Kata Subkhiddin, semakin senior sesebuah kejohanan itu, semakin hampir untuk seorang pengadil menghampiri impiannya ke Piala Dunia. Maka, sasaran Nazmi adalah untuk menuju ke arah tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram