MALAYSIA dijangka bakal menerima kehadiran bintang-bintang bola sepak dunia pada bulan Mac apabila gergasi Amerika Selatan dan Afrika akan tiba di negara ini.
Hal ini kerana, Malaysia disebut-sebut bakal menjadi tuan rumah kepada dua perlawanan persahabatan antarabangsa melibatkan Argentina, Ivory Coast dan Nigeria.
Argentina yang bakal berdepan dua jagoan Afrika itu sedang meneroka beberapa lokasi untuk mengadakan dua perlawanan tersebut termasuklah di negara kita dengan potensi bintang-bintang seperti Sebastian Haller, Angel di Maria dan Victor Osimhen akan datang ke Malaysia.
Haller yang beraksi bersama Borussia Dortmund sebelum ini pernah beraksi bersama kelab EPL, West Ham United sementara di Maria pula tidak lagi perlu diperkenalkan apabila pernah beraksi bersama Real Madrid dan Manchester United sebelum kini menyarung jersi kelab Portugal, Benfica.
Untuk rekod, Ivory Coast merupakan juara bagi Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) edisi 2023 yang menyaksikan mereka sebagai tuan rumah.
Menurut pemerhati sukan dari Argentina, Leo Paradizo, juara Piala Dunia 2022 itu sedang menimbangkan tiga negara Asia sebagai lokasi untuk mereka bertarung.
BACA LAGI: 'See you soon' bukan mesej ke JDT tapi ada 3 maksud tersirat buat Arif Aiman
Ivory Coast merupakan pemenang AFCON 2023. — Facebook/AFCON
Negara-negara tersebut adalah Malaysia, Indonesia dan India. La Albiceleste turut mempertimbang potensi untuk beraksi di Amerika Syarikat bagi dua perlawanan tersebut.
Namun begitu, masih belum ada perkembangan terkini mengenai potensi kedatangan skuad kendalian Lionel Scaloni tersebut. Jika ia diadakan di Malaysia, pasti akan menarik ribuan penyokong untuk membanjiri stadium.
Jika benar dua perlawanan tersebut diadakan di Malaysia, berkemungkinan besar Stadium Nasional Bukit Jalil akan digunakan. Namun begitu, pastinya akan timbul kerisauan terhadap tahap rumput stadium tersebut.
BACA LAGI: Kembali lepas digugurkan JDT, kelibat bek senior bagaikan petanda terima nasib seperti Forestieri
Angel di Maria menjaringkan gol dalam aksi akhir Piala Dunia 2022. — Agensi
Umum mengetahui Bukit Jalil mempunyai permasalahan rumput sejak ia ditukarkan kepada Zeon Zoysia. Dengan Harimau Malaya bakal turun berdepan Oman dalam aksi kelayakan Piala Dunia pada bulan yang sama, aturan yang bijak harus dilakukan supaya ia tidak menyukarkan urusan skuad kebangsaan mengharungi perlawanan penting itu.
Dengan jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon lebih gemarkan Harimau Malaya bermain di Bukit Jalil, pihak-pihak berkaitan seperti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) perlu melakukan aturan sebaiknya.
Jika ia gagal dibuat, sudah pasti penyokong akan memberikan kecaman terhadap dua entiti tersebut seperti apa yang berlaku sebelum ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram