Fandi Ahmad gesa MFL keluarkan jadual musim 2024 lebih awal


  • Podium
  • Isnin, 18 Dis 2023

Fandi berharap agar jadual liga tahun depan diberikan lebih awal bagi membantu pasukan membuat perancangan. — Facebook/TokGajah

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mahu pasukan bersikap profesional tetapi pengelola liga domestik berkenaan nampaknya bertindak secara amatur.

Saingan Liga Super tahun ini sudah berakhir dengan Johor Darul Takzim (JDT) memenangi gelaran untuk tahun ke-10 berturut-turut tetapi MFL masih belum mengumumkan jadual musim tahun depan.

Langkah perlahan yang diambil oleh pihak MFL tersebut meletakkan pasukan dalam keadaan membingungkan sama ada perlu membuat persiapan ataupun sebaliknya.

Jurulatih Sri Pahang, Fandi Ahmad berkata, mereka perlu mengetahui tarikh pertandingan untuk saingan tahun depan lebih awal supaya kelab boleh merancang dengan lebih baik.

Musim ini dijangka bermula pada bulan April namun pengendali dari Singapura itu merayu agar MFL mengeluarkan tarikh tersebut secepat mungkin.

“Bila kita nak mula latihan? Kami perlu tahu bila pramusim bermula,” kata legenda bola sepak Singapura itu selepas pasukannya menamatkan perlawanan liga terakhir mereka pada Sabtu.

Perlawanan mereka menentang Kuala Lumpur berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan di Stadium Bola Sepak Cheras, Kuala Lumpur pada Sabtu.

WhatsApp Image 2023-12-18 at 08.19.23

Pengeluaran jadual lebih awal dapat membantu pasukan untuk membuat rancangan musim depan seperti mengambil pemain baharu. — Facebook/TokGajah

“Kita perlu berfikir untuk merancang apa yang akan datang. Jika tiada tarikh pasti diberikan, sukar untuk merancang pramusim. Kami juga perlu mendaftar pemain untuk skuad Tok Gajah.

“Tahun depan ada hari raya dan bulan Ramadan juga, kita kena ambil tahu semua ini. Kita cuma perlu tahu bila liga bermula dan kemudian buat persiapan lebih awal.

“Saya tidak menyalahkan sesiapa tetapi kami memerlukan jadual lebih awal. Kami hanya mahu membuat persiapan yang betul," katanya.

MFL sehingga kini masih belum mengumumkan tarikh sebenar sepak mula musim baharu kerana masalah yang menyelubungi beberapa pasukan.

Jika bilangan pasukan masih belum disahkan untuk tahun depan, MFL tidak akan dapat merangka jadual saingan liga.

Seperti masalah yang melanda pasukan Kelantan apabila ada kemungkinan lesen kebangsaan mereka ditarik balik kerana mereka masih belum membayar gaji pemain mereka.

Selain skuad The Red Warriors (TRW), beberapa pasukan lain turut berada dalam situasi yang sama jika melibatkan tunggakan pembayaran gaji pemain dan kakitangan kelab.

Lebih cepat MFL menyelesaikan isu adalah lebih baik untuk pengelola bola sepak Malaysia itu boleh memberikan pasukan kalendar yang tepat untuk tahun depan.

Terdahulu, badan profesional itu berkata, mereka akan membuat perubahan dalam jadual pertandingan mereka supaya ia akan diselaraskan dengan kalendar Konferensi Bola Sepak Asia (AFC) dan memastikan jendela perpindahan Liga-M selaras dengan liga antarabangsa.

WhatsApp Image 2023-12-18 at 08.19.24

Sherman (kiri) merupakan penyerang terbanyak Sri Pahang pada musim ini. — Facebook/TokGajah

Fandi berkata, kelewatan jadual dari MFL itu turut akan menjejaskan kewangan skuad Tok Gajah juga.

“Semuanya ditangguhkan, dan sukar untuk mendaftar pemain. Kelewatan itu boleh menyukarkan pasukan,” katanya.

Musim ini, Pahang menduduki tempat kelima dengan 45 mata daripada 26 perlawanan.

Mereka menjaringkan 44 gol, dengan penyerang Liberia, Kpah Sherman muncul sebagai penyerang terbaik skuad Tok Gajah dengan mencetak sebanyak 12 gol pada musim ini.

Fandi berkata, kedudukan kelima adalah kedudukan yang baik walaupun pemilik kelab Tengku Abdul Rahman ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berharap untuk mendapat tempat ketiga.

“Kami tidak bernasib baik dengan kecederaan musim ini dan beberapa kontrak pemain juga berakhir. Lucas (Espindola) cedera sekian lama dan begitu juga dengan Syamie Iszuan Amin.

“Ia adalah sukar untuk melawan pasukan yang lebih besar dengan kecederaan dalam pasukan. Kami perlu memperbaikinya untuk musim depan. Kami perlukan pemain yang berkualiti," tambahnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram