KETERUJAAN kini melanda penyokong Terengganu FC apabila kelab mereka sudah mula melakukan gerak dalam membaiki skuad sedia ada.
Skuad kendalian Tomislav Steinbruckner telah pun mengesahkan kehadiran beberapa pemain baharu untuk musim 2024/2025 seperti ketibaan dua pemain sayap pinjaman dari Johor Darul Ta'zim (JDT) iaitu Safawi Rasid dan Akhyar Rashid.
Ketibaan dua pemain sayap tersebut nyata menimbulkan keterujaan dalam kalangan penyokong Terengganu. Mana tidaknya, jika kedua-dua pemain tersebut berada pada prestasi terbaik, pertahanan lawan pasti kucar-kacir.
Keterujaan tersebut terus menimbulkan hype (keterujaan) mengenai bagaimana serangan Terengganu akan menjadi begitu tajam musim depan. Ada yang berpendapat, gandingan Safawi, Akhyar dan penyerang Ivan Mamut akan menimbulkan gerun kepada pihak lawan.
Di kala semua tak sabar menyaksikan gandingan trio tersebut, Terengganu sebenarnya mempunyai senjata wildcard yang boleh menambah sengat di bahagian serangan. Senjata yang dimaksudkan adalah penyerang Ismaheel Akinade.
Akinade telah disahkan menjadi penyerang baharu Terengganu menggantikan Sony Norde baru-baru ini walaupun namanya sudah dikaitkan dengan kelab tersebut untuk satu tempoh yang agak lama.
BACA LAGI: Seolah-olah tidak diundang, ada yang pesan beri Ismahil Akinade peluang buktikan kebolehan
BACA LAGI: Tak dapat lawan JDT, Akhyar dan Safawi boleh aksi ubi muda TFC dari tempat penonton
Dia menghasilkan 10 gol dan enam bantuan jaringan dalam 25 penampilan bersama-sama Kelantan FC dan Kelantan United FC sebelum menyertai Terengganu musim ini.
Keputusan Terengganu mengambil Akinade untuk menggantikan Norde sedikit meragukan, tetapi sebenarnya dia mampu menjadi pemain sandaran (back-up) yang baik kepada Mamut sebagai penyerang utama.
"Semua sibuk pasal gandingan trio Akhyar-Mamut-Safawi, tapi jangan pandang enteng kepada Akinade. Mungkin dia boleh jadi surprise element untuk Terengganu nanti. Ibarat bom jangka, tunggu masa nak meletup saja," kata penyokong bernama Roro O'Monstro.
"Betul tu. Beri ruang dan peluang kepada Akinade. Kita tak mahu (perkara) berulang seperti musim 2023, pemain yang diharap memberi impak positif tetapi hasilnya kurang memberangsangkan seperti Adisak Kraisorn," ujar Yuyujue23.
"Akinade ni kalau orang yang pernah tengok dia main tahulah dia macam mana, kawalan bola yang baik dan selalu kerja keras. Tandukan dia pun padu, sama-sama kita nantikan," komen Shidie Rashid.
Selain daripada Akinade, Terengganu dijangka mengumumkan ketibaan pertahanan import dari Belanda iaitu Matthew Steenvoorden dalam masa terdekat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram