[VIDEO] Gara-gara insiden dalam terowong, kelab Terengganu enggan teruskan permainan berdepan JDT


  • Podium
  • Selasa, 13 Feb 2024

Perselisihan itu kemudian turut membabitkan pemain-pemain JDT dan difahamkan ia berlanjutan hingga kedua- dua pasukan memasuki bilik persalinan.

PERLAWANAN bola sepak tidak kira peringkat apapun pasti tidak terlepas daripada dicemari insiden provokasi sama ada daripada penyokong atau pemain pasukan itu sendiri.

Turut tidak ketinggalan, Liga Malaysia (Liga M) juga tidak terlepas dengan insiden pergaduhan.

10 tahun lalu, perlawanan antara pasukan Johor Darul Takzim (JDT) dan T-Team dalam aksi pusingan kedua Piala FA dicemari dengan kontroversi pergaduhan dalam terowong.

Insiden tersebut dilaporkan berlaku dalam terowong Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos atau dikenali sebagai Stadium Larkin, Johor Bahru selepas tamat aksi babak pertama.

BACA LAGI: Kim Swee ada senjata rahsia, ketiadaan Saddil Ramdani bukan penghalang

BACA LAGI: 'Kalau mereka ambil ramai pemain muda, pasukan itu tidak akan menjadi', bintang beri bayangan kekal bersama skuad Jang Hobin

Dilaporkan, salah seorang staf, Stefano Impagliazzo dan pemain import pasukan T-Team, Elvaldo Goncalves didakwa ditumbuk dan ditendang ketika menuju ke bilik persalinan sebaik sahaja tamat separuh masa pertama.

Akibat kejadian tersebut, Goncalves dilaporkan mengalami pendarahan di hidung dan Stefano mengalami kesakitan di paha.

Susulan insiden tersebut, Goncalves bersama rakan senegaranya Fabio Flor de Azevado dan jurulatih kecergasan, Impagliazzo dilaporkan membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Dalam perlawanan ketika itu, JDT mendahului dengan skor 2-1 pada babak pertama terpaksa akur dengan keputusan T-Team selepas kelab itu enggan meneruskan permainan ekoran kekecohan yang berlaku di terowong ke bilik persalinan itu.

T-Team dilaporkan meninggalkan Stadium Larkin dan terus pulang ke Kuala Terengganu, Terengganu.

Disebabkan tindakan T-Team yang meninggalkan stadium semasa perlawanan sedang berlangsung, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengambil tindakan dengan memberikan kemenangan 3-0 kepada JDT sekali gus Harimau Selatan layak ke suku akhir Piala FA 2014.

Namun begitu, JDT juga dikenakan denda RM30,000 oleh FAM selepas didapati bersalah kerana gagal menyediakan kawalan keselamatan yang mencukupi pada aksi perlawanan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram