DALAM misi mengurangkan kos perbelanjaan pasukan, Johor Darul Ta'zim (JDT) mengambil keputusan melepaskan beberapa pemain yang dirasakan tidak lagi memberi sumbangan buat mereka.
Antara yang diumumkan tidak akan lagi bersama pasukan Selatan tanah air tersebut ialah bek tengah, Adam Nor Azlin dengan dia hanya diletakkan dalam skuad simpanan beberapa tahun kebelakangan ini.
Kesukaran mendapatkan minit permainan secara kompetetif jelas memberi kesan buatnya kerana tidak lagi diberikan peluang beraksi dalam pasukan negara sejak kali terakhir berbuat demikian pada 2019.
Jadi, dengan dia sudah tidak lagi terikat dengan JDT, pemain kelahiran Klang, Selangor tersebut menegaskan bahawa dia mahu kembali berada dalam radar skuad kebangsaan.
Meskipun masih tidak diketahui pasukan yang bakal diwakilinya musim depan, Adam Nor berkata, dia akan memberikan yang terbaik demi menaikkan semula kariernya.
BACA LAGI: Tak jadi kemas beg ke Perak, Adam Nor Azlin bakal pilih Sri Pahang jadi destinasi
Sri Pahang FC dan Perak FC disebut-sebut sebagai destinasi Adam Nor musim depan.
BACA LAGI: Haziq, Adam belum pasti 'kemas beg' ke Perak FC
"Saya sudah lama tidak beraksi dalam Liga Super.2024 adalah untuk membina semula nama saya untuk beraksi dan juga sasaran untuk bermain kembali bersama pasukan kebangsaan.
"Mungkin saya perlu bekerja lebih keras lagi, tiada apa mustahil," katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam pada Selasa.
Berdasarkan khabar angin, Adam Nor dikatakan bakal menyertai Perak FC atau Sri Pahang FC yang sememangnya memerlukan seorang bek tengah bagi musim depan.
Kedua-dua pasukan itu boleh dianggap destinasi terbaik buat pemain berusia 28 tahun tersebut kerana dia boleh menyelesaikan isu kekurangan pertahanan tengah berkualiti.
Dalam pada itu, Adam Nor yang pernah diangkat sebagai tonggak skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara itu mendedahkan perlawanan akhir Piala Asia menentang Korea Selatan membakar semangatnya.
"Gol ketiga Malaysia ketika bertemu Korea Selatan dalam Piala Asia memang meremangkan bulu roma, seluruh rakyat Malaysia merasai kemanisannya.
"Saya termotivasi untuk berada dalam pasukan kendalian Kim Pan-gon. Tidak mudah untuk katakannya. Kami kena kerja dan tunjukkan prestasi yang lebih baik," katanya. — Stadium Astro
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram