Tak jadi kemas beg ke Perak, Adam Nor Azlin bakal pilih Sri Pahang jadi destinasi


  • Podium
  • Jumaat, 09 Feb 2024

Adam banyak mendapat peluang bermain bersama skuad JDT pada musim 2019. — Facebook/JDT

SRI Pahang FC difahamkan akan memulakan memulakan projek dua tahun untuk bermain dengan baik dalam liga dan diharapkan memenangi mana-mana pertandingan piala domestik yang bakal berlangsung.

Sejajar dengan misi berkenaan, pengurusan Tok Gajah mengambil langkah bijak untuk menawarkan lanjutan kontrak dua musim kepada para pemain musim lepas, selain menyerap beberapa tonggak pinjaman sebagai pemain tetap.

Pemain ditawarkan lanjutan kontrak ialah ketua pasukan, Sergio Aguero, bek kiri Syazwan Andik dan Azwan Aripin, penjaga gol Zarif Irfan Hashimuddin, bek kanan Azrif Nasrulhaq, pemain tengah Saiful Jamaluddin dan Nasrullah Zaki dan pemain sayap Syaahir Saiful Nizam.

Usaha kelab Pantai Timur berkenaan tidak berhenti di situ apabila Sri Pahang difahamkan bakal menandatangani seorang lagi pemain dari Johor Darul Takzim (JDT), Adam Nor Azlin bagi membantu memperkuatkan benteng pertahanan.

Selepas tidak mendapat tempat di kem Harimau Selatan, bek tengah berusia 28 tahun berkenaan diumumkan meninggalkan kelab bersama S Kunanlan, Ahmad Hazwan Bakri, Adam Nor Azlin, Leandro Velazquez dan Diogo Luis Santo selepas sekian lama berkhidmat untuk JDT.

BACA LAGI: [VIDEO] Tindakan Adam Nor Azlin 'warning' penjaga gol PDRM cekik pemain muda JDT wajar dipuji

WhatsApp Image 2024-02-09 at 17.00.11

Musim lepas, Adam banyak beraksi bersama skuad simpanan JDT bagi aksi Piala MFL. Facebook/JDT

BACA LAGI: Selain Adam Nor Azlin, 3 lagi CB dilihat calon terbaik perkukuh benteng Perak FC musim depan

”Adam Nor Azlin ke Sri Pahang FC secara tetap. Adam bermain secara ‘regular player’ di JDT adalah pada tahun 2019 di mana Adam digandingkan bersama Mauricio.

“Semoga dia mendapatkan rentak semula pada musim ini. Pahang memulakan latihan pertama pada 21 Februari,” tulis laman penyokong, OneFootball.my di platform X.

Jika bekas pemain Selangor itu sah menyarung jersi skuad kendalian Fandi Ahmad, ia merupakan satu perpindahan yang mengejutkan apabila sebelum ini Adam dikaitkan akan berkelana ke bumi Perak bagi musim 2024/2025 ini.

Terdahulu, Pengerusi kelab Perak FC, Datuk Seri Azim Zabidi mengesahkan tawaran Harimau Selatan berhubung dua pemain yang mahu dipinjamkan iaitu Haziq Nazli dan Adam masih dalam pertimbangan.

Namun nampaknya perpindahan Adam ke kem The Bos Gaurus (TBG) tidak bakal berlangsung dan sebaliknya pemain pertahanan itu akan menyertai bekas rakan sepasukan seperti Azrif dan Syazwan di Darul Makmur. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram